Tuesday, October 6, 2009

Satu Malaysia: Mencari satu Definisi (3)

sambungan.......

Mencari Satu Definisi
Apakah yang dimaksudkan dengan Gagasan Satu Malaysia? Adakah ia relevan dalam konteks masyarakat negara ini walaupun pelbagai slogan, ungkapan dan imej cuba diterap dalam kalangan ahli masyarakat sebelum ini? Mengapa sekarang? Adakah kerana keadaan politik yang tidak menentu dan krisis ekonomi global yang semakin meruncing memerlukan sokongan kesemua ahli masyarakat? Sejauhmanakah populasi negara ini memahami intipati gagasan ini ataupun ia masih menimbulkan kekeliruan dan siapakah yang bertanggungjawab dalam menimbulkan kegelisahan ke atas gagasan ini.
Asas kekuatan pentadbiran beliau adalah ke atas pembentukan Satu Malayusia yakni kesemua ahli masyarakat akan mengutamakan nilai perpaduan dan menjadikan negara ini sebagai teras utama 'Satu Negara, Satu Matlamat' dan berpaksikan kepada tiga teras iaitu prinsip penerimaan; kenegaraan dan keadilan sosial. Ini merupakan pelengkap kepada Wawasan 2002 dan gagasan lain yang pernah dikemukakan oleh Perdana Menteri sebelum ini. Satu Malaysia dijadikan penggerak ketika kelangsungan politik arus perdana yang berada dalam keadaan tidak menentu. Bermakna, walaupun berbeza pandangan dan ikatan politik, ia tidak wajar digunakan untuk memadamkan nilai kesepaduan yang sudah terbina sekian lamanya.


Satu Malaysia walaupun dikatakan masih belum menjana kepercayaan sepenuhnya, tetapi ia penting untuk persekitaran politik arus perdana. Konsep adalah sebahagian dari kehidupan awam dan manipulasi tingkah laku politik. Yang penting adalah sejauhmana ada keazaman dan motivasi untuk memimpin dan memberi panduan dibelakang konsep ini. Adakah ia semata-mata konsep atau ada penerangan berterusan di belakang konsep ini?. Satu Malaysia hakikatnya memberi indikator bahawa ada perubahan penerimaan keatas kepimpinan Perdana Menteri.

Satu Malaysia merupakan gagasan pemahaman, keyakinan, penghormatan, dan pengiktirafan nilai kemasyarakatan demografi dan geografi negara ini. Ia melangkaui usaha mempertahan dan mengukuhkan kemuafakatan dan perpaduan negara ini yang memerlukan rasa tanggungjawab dan kejujuran yang menyuburkan nilai tolak ansur, hormati-menghormati dan saling faham memahami anatara satu sama lain. Ia bukan kepercayaan baru, ia bukan manifestai ajaran baru; ia lahir dalam memanam dan menerap nilai kemanusiaan supaya masing-masing dapat bersama dalam menagani apa sahaja cabaran dan meraikan kecemerlangan kerana percaya dan yakin kesemuanya mempunyai satu matlamat iaitu mempertahankan kedaulatan negara ini berpaksikan kepada nilai patriotisme dan nasionalisme yang hebat memagari diri setiap individu dari sifat prasangka dan saling syak wasangka serta mencurigai antara satu sama lain yang boleh menggangu proses memakmurkan negara ini. Semangat kekitaan yang tebal sehingga bersedia menjayakan gagasan besar Satu Malaysia ini.
(Petikan Kertas Kerja Satu Malaysia: Pendefinisian, Pemahaman dan Pelaksanaan, Dr Sivamurugan, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, USM)

No comments: