Tuesday, November 24, 2009

Kajian Kepimpinan YAB Perdana Menteri

Jabatan Penerangan Malaysia sedang menjalankan kajian untuk mengetahui penerimaan rakyat terhadap kepimpinan YAB Perdana Menteri. Kami memohon kerjasama anda untuk meluangkan sedikit masa untuk menjawab soal selidik ini. Kami sangat menghargai kerjasama anda. Sila KLIK disini

Wednesday, November 18, 2009

Awasi Taun


Memetik sebahagian daripada ingatan Jabatan kesihatan Negeri Terengganu. http://www.bernama.com/bernama/v5/bm/news_lite.php?id=455977.


Wabak taun yang berlaku di Terengganu sejak minggu lepas kini dilapor merebak hampir ke seluruh negeri dan sehingga kini, seramai 111 kes dikesan positif taun.Pengarah Kesihatan negeri Dr Nordiyanah Hassan berkata selain Kuala Terengganu, penyakit taun kini turut dikesan di Marang, Setiu, Dungun, Kemaman dan Hulu Terengganu. Hanya daerah Besut yang bebas daripada wabak itu.


Sehubungan itu, Dr Nordiyanah menasihati orang ramai agar mengambil langkah pencegahan seperti meminum hanya air yang dimasak, minum air batu yang dibuat sendiri menggunakan air yang dimasak dan memasak sendiri makanan di rumah.Orang ramai juga diminta sentiasa mencuci sayur-sayuran, buah-buahan dan alat memasak dengan air bersih, menutup semua makanan dan makan makanan yang masih yang panas."Basuh tangan dengan air sabun dan air bersih selepas menggunakan tandas, sebelum makan dan sebelum menyediakan makanan. Jika perlu makan di luar, pilih gerai yang bersih dan pengendali makanan yang mengamalkan kebersihan yang baik," katanya.Beliau berkata taun adalah sejenis penyakit bawaan air dan makanan atau penyakit cirit birit yang mudah berjangkit dan sangat berbahaya iaitu kumannya terdapat dalam najis dan muntah pesakit serta pembawa kuman taun.
Ulasan : Sama-samalah kita berdoa bahawa penyakit ini tidak menjadi wabak dan sekiranya mengalami tanda-tanda penyakit tersebut cepat-cepatlah ke klinik kesihatan yang terdekat.

Monday, November 16, 2009

Bill Gates Di Terengganu


Penyampaian e-book kepada pelajar oleh Datuk' Ahmad Said, Menteri Besar Terengganu. Di kanan beliau Nik Dir Nik Wan Ku, Pegawai Pembangunan DUN Rhu Rendang

MARANG - 15 Nov 2009
Tiada siapa tahu dan mampu menduga seorang lagi Bill Gates akan lahir di bumi Terengganu. Mungkin namanya bukan Bill Gates. Mungkin namanya Md Awang sahaja atau Mat Ropi. Tetapi itulah harapan YAB Datuk Ahmad bin Said Menteri Besar Terengganu ketika berucap di majlis penyerahan e-book kepada 753 orang pelajar-pelajar Tahun Lima Sekolah Rendah seluruh DUN Rhu Rendang di SK Bukit Gasing semalam. Beliau berkata impiannya hanya satu, iaitu ingin melihat bukan sahaja anak-anak Terengganu menguasai komputer tetapi juga menjadi pencipta. “Kita akan lahirkan ‘Bill Gates’ di Terengganu”.


e-book yang mengandungi perisian Tahun Empat hingga ke Tahun Enam


Setakat ini 19,000 e-book telah diserahkan kepada pelajar-pelajar Tahun Lima di seluruh Terengganu. Menjadi iltizam kerajaan negeri untuk memberi kemudahan pembelajaran yang terbaik kepada anak-anak Terengganu tanpa mengira warna kulit dan fahaman politik. “Kita tidak memilih anak siapa, PAS atau UMNO, yang penting Terengganu harus berada di tangga teratas dalam bidang pelajaran”. Setakat ini tiga buah sekolah di Terengganu tersenarai antara 20 buah sekolah terbaik di seluruh negara. Sekolah tersebut ialah SM Imtiyas Dungun, SMK Lembah Bidong, Setiu dan SMK Sains Kuala Terengganu yang berada di tangga kedua, ketiga dan ketiga belas.



Terengganu telah menunjukkan prestasi yang membanggakan, menjuarai keputusan UPSR terbaik Malaysia sepanjang tujuh tahun berturut-turut. Pada tahun lepas Terengganu muncul pula dengan keputusan STPM terbaik seluruh negara. Tahun 2009 juga menyaksikan lonjakan pencapaian pelajar-pelajar Terengganu yang memperolehi Ijazah Kelas Pertama kepada 105 orang. Peningkatan mendadak ini adalah hasil dari tawaran kerajaan negeri yang menukar status pinjaman kepada biasiswa kepada mereka yang memperolehi kelas pertama. Satu lagi pencapaian yang memberangsangkan dan membanggakan. Kerana itu penyerahan e-book ini dijangka akan mempunyai kesan berganda kepada pelajar-pelajar Terengganu yang bukan sahaja cemerlang dari pencapaian akademik tetapi juga penguasaan ilmu agama, sesuai dengan perisian e-book yang dilengkapi dengan perisian Al-Quran dan terjemahan, doa harian, Solat dan Solat-solat sunat. Tahun-tahun akan datang perisian e-book akan diperluas dengan sukatan pelajaran Tingkatan Satu sehingga Tingkatan Tiga. Ini adalah diantara langkah-langkah ’pembaharuan’ yang akan dilaksanakan oleh kerajaan negeri, termasuk merancang mengadakan peperiksaan secara maya.



Beliau juga turut menyatakan beberapa buah negeri dan negara yang berminat dengan kaedah pembelajaran menggunakan e-book. Negara Indonesia ketika ini sedang menguji pakai perisian e-book tersebut dalam bahasa pengantar Indonesia. Jika berjalan lancer seperti dijadualkan, tahun hadapan sejumlah 50,000 buah e-book akan dihantar ke negara tersebut. Begitu juga kerajaan UAE yang telah pun membuat tempahan sejumlah 2,000 buah e-book dalam bahasa pengantar Arab. Negeri-negeri yang turut menunjukan minat yang sama ialah Selangor dan Pulau Pinang.



Majlis tersebut turut dihadiri oleh YB Senator Dato Haji Abd Rahman bin Bakar, Pegawai Pembangunan Parlimen Marang, Haji Ariffin bin Embong, Pengarah Pelajaran Negeri Terengganu dan Tuan Haji Nik Dir bin Wan Ku, Pegawai Pembangunan DUN Rhu Rendang.