Thursday, April 30, 2009

Terengganu Pembekal Daging Kambing 2015

Datuk Ahmad Said dibawa melawat Ladang kambing. Dari kiri Dr Azizul Mohd Sharun, Pengarah Jabatan Haiwan Terengganu dan Haji Zainudin bin Haji Zakaria, Pengusaha Ladang Cosmopal

Terengganu akan menjadi pembekal daging kambing terbesar di Semenanjung apabila tidak lagi mengimpot daging kambing dari luar negara pada tahun 2015. Kenyataan ini dikeluarkan oleh Dr Azizul Mohd Sharun, Pengarah Jabatan Haiwan Negeri, ketika lawatan kerja YAB Menteri Besar Terengganu di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Ladang Cosmopal Serating, Marang hari ini. Jabatan Haiwan Negeri pula katanya, sedang dalam usaha meningkatkan jumlah pengusaha penternak kambing daripada 15 yang sedia ada kepada 25 pengusaha untuk mencapai sasaran memiliki bekalan daging kambing 65 peratus menjelang tahun 2013.


Taklimat mengenai ternakan kambing di kandang

YAB Datuk Ahmad Said Menteri Besar Terengganu dalam majlis yang sama turut meluluskan seluas 50 ekar tanah pertanian bagi menampung bekalan makanan kambing dengan penanaman rumput dan jagung. Ladang tersebut yang kini menternak sejumlah 1,700 ekor kambing jenis Jamnapari dijangka mampu menternak sehingga 4,000 ekor kambing dalam tempoh lima tahun akan datang. Beliau juga meminta Exco Pertanian memperluaskan projek penternakan kambing kepada individu miskin terutama dibawah projek PPRT. Jabatan Haiwan setakat ini sudah mempunyai program penternakan kambing kepada individu yang layak dengan peruntukkan sejumlah RM15,000 untuk binaan kandang dan 10 ekor kambing.


Menyusukan anak kambing jenis Jamnapari.

Tuesday, April 14, 2009

JKR, Kemas, Johan Gerai Pekan Budaya Marang 2009



JKR gondol Piala Pusingan Gerai Tercantik

JKR Daerah Marang telah berjaya menggondol Piala Pusingan Gerai Tercantik manakala Pejabat Kemas Daerah Marang pula telah berjaya menggondol Piala Pusingan Gerai Terbaik Pekan Budaya Daerah Marang 2009. Dua puluh buah agensi dan jabatan telah turut menyertai gerai pameran di Pekan Budaya 2009 tahun ini. Hadiah-hadiah kemenangan tersebut telah disampaikan oleh Tuan Haji A.Rahman Che Ali, Pegawai Daerah Marang merangkap Pengerusi Pekan Budaya 2009 Daerah Marang.





Pegawai Kemas menerima hadiah kemenangan Gerai Terbaik Pekan Budaya 2009 dari Tuan Haji A.Rahman Che Ali, Pegawai Daerah Marang

Dalam ucapan perasmian penutup Pekan Budaya 2009, Haji A.Rahman turut berpuas hati kepada kehadiran orang ramai yang memberangsangkan sepanjang tujuh hari pesta ini berlangsung. Ini katanya, sebagai petanda baik kepada usaha kerajaan Negeri Terengganu dalam memperkenalkan budaya dan tradisi tempatan. Beliau juga berharap kerajaan negeri dapat memperuntukkan bajet yang lebih besar pada tahun hadapan berdasarkan komitmen jabatan dan agensi yang 'turun padang' melalui perkhidmatan kaunter secara efektif kepada pengunjung seperti, Pejabat Daerah, Majlis Daerah Marang dan Jabatan Pengangkutan Jalan.



Persembahan Dikir Barat di Perasmian Penutup Pekan Budaya 2009
Majlis Penutup ini turut dihadiri oleh Pegawai Kesihatan Daerah, Ketua Pentadbir Tanah Daerah, Pegawai Agama Islam Daerah dan ketua-ketua jabatan diperingkat Daerah Marang

Monday, April 13, 2009

Syukran Shabree Ahlan Wasahlan Rais


Pengumuman kabinet rakyat oleh YAB Dato Sri Mohd Najib, Perdana Menteri turut menyusun semula Kementerian Penerangan, Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi dan Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan kepada Kementerian Penerangan, Komunikasi, Kesenian dan Kebudayaan.

Ini bermakna keluarga Kementerian yang disusun semula ini semakin besar dari segi jumlah jabatan dan kakitangannya. Meriah. Kami warga Pejabat Penerangan Daerah Marang merakamkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada YB Datuk Ahmad Shabree Cheek yang telah menerajui kementerian ini selama 1 tahun 1 bulan. Banyak nafas baru yang telah dibawakan oleh beliau seiring dengan perkembangan dan persaingan komunikasi masakini. Kami juga turut mengucapkan selamat datang kepada YB Dr Datuk Seri Dr Rais Yatim yang bagaikan sirih pulang ke gagang, pinang pulang ke tampuknya.

Thursday, April 9, 2009

Kerjasama Penerangan dan Perpustakaan Marang


Mempelajari sistem OPAC secara online.
Empat orang anggota Pejabat Penerangan Daerah Marang telah mengikuti latihan OPAC (Online Public Access Catalog) di Perpustakaan Awam Marang semalam. Latihan sambil bekerja ini bertujuan mendedahkan anggota-anggota Pejabat Penerangan Daerah Marang kepada kaedah merekodkan buku-buku dan bahan penerbitan secara sistematik menggunakan katalog.

Tatacara mengkatalog penerbitan secara manual

Kakitangan jabatan yang sedang membuat latihan

"Pejabat ini merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada Perpustakaan Marang yang telah bersedia untuk berkongsi pengetahuan serta melatih kakitangan kami". Ia dinyatakan oleh Encik Shabli bin Arshad, Pegawai Penerangan Daerah Marang selepas tamat latihan. Beliau juga berharap bahawa kerjasama seumpama ini terutama dalam perkongsian maklumat dan juga latihan akan dapat dipertingkatkan lagi pada masa hadapan bagi faedah awam.




Mohd Noraladdin Hussin Pegawai Perpustakaan Marang bersama Pegawai Penerangan Daerah Marang

Latihan ini sebagai langkah meningkatkan kemahiran petugas kepada fungsi PMR (Pusat Maklumat Rakyat) di Pejabat penerangan Daerah secara lebih berkesan. PMR yang sering dikunjungi oleh pelanggan-pelanggan bukan sahaja boleh mendapatkan perkhidmatan internet secara percuma tetapi juga mendapatkan maklumat mengenai dasar-dasar kerajaan dan pengetahuan am serta profail daerah.

Wednesday, April 8, 2009

Kebersihan Tanggungjawab Bersama

Rakyat Terengganu perlu menjaga kebersihan pantai-pantai di Negeri Terengganu tanpa menunggu peristiwa atau acara penting. Ia sewajarnya menjadi tanggungjawab untuk memastikan pantai sentiasa bersih dan terjaga. Penjagaan pantai secara berterusan mampu menarik lebih ramai kehadiran pelancong-pelancong dari luar dan dalam negeri. Harapan ini dinyatakan oleh Datuk Wan Zahari Wan Ngah, Pengarah Trivicosta ketika berucap di majlis gotong-royong bersempena dengan program Kapas Marang Swimathon International 2009 dan Pekan Budaya Marang 2009 di Pantai Peranginan Kelulut semalam.



Datuk Wan Zahari turut sama bergotong royong


Dianggarkan seramai 50 orang turut serta dalam program gotong-royong tersebut yang dianjurkan oleh Trivicosta dan Majlis Daerah Marang. Ia turut membabitkan anggota pelbagai jabatan dan penduduk kampung yang berdekatan. Program ini yang bermula pada jam 8.30 pagi dan berakhir pada tengahari meliputi kawasan pantai sepanjang 2 kilometer. Turut bersama-sama dalam program tersebut ialah Haji A.Rahman Che Ali, Pegawai Daerah Marang dan Jusman Ibrahim, Setiausaha Majlis Daerah Marang.


Sunday, April 5, 2009

Indahnya Pulau Kapas



Pulau Kapas tidak asing lagi kepada penduduk Daerah Marang. Suatu ketika dahulu pulau ini hanya menjadi tempat persinggahan nelayan atau tempat berlindung daripada dipukul ribut. Hari ini Pulau Kapas seakan ‘dara pingitan’ yang sentiasa menjadi perhatian ramai pelancung dari luar dan dalam negeri. Mengambil masa cuma 15 minit menaiki bot dari Jeti Marang, pengunjung akan menikmati panaroma pulau yang mengasyikkan. Air yang jernih, pantai yang bersih, ombak beralun perlahan, kehidupan karang yang tidak terusik, flora dan fauna yang masih belum diteroka sepenuhnya meletakkan Pulau Kapas sebagai destinasi pelancongan yang berbaloi untuk dikunjungi oleh seisi keluarga.

Mereka yang berkunjung bukan sahaja boleh mandi-manda dengan tenang tetapi juga turut berpeluang untuk menikmati aktiviti berkayak, aktiviti 'snorkling' bagi menyaksikan keindahan karang dan ikan pelbagai warna, ataupun aktiviti scuba diving. Bagi mereka yang mencari ketenangan dan kedamaian, pulau ini menawarkan penginapan di chalet pada harga yang berpatutan. Bagi yang memilih untuk berkhemah, tempat perkhemahan juga disediakan tanpa bayaran yang mahal. Malah perkhidmatan feri ulang alik yang disediakan turut membolehkan pengunjung yang datang bersantai untuk menghirup udara segar dan menikmati panorama yang menarik boleh kembali ke tanah besar pada hari yang sama. Itulah kelebihan Pulau Kapas, yang tiada pada pulau-pulau lain di Terengganu.


Pulau Kapas dalam tempoh beberapa tahun lagi dipercayai akan menjadi tumpuan pengunjung bukan sahaja kepada aktiviti pantai dan hidupan laut tetapi juga kepada aktiviti meneroka hutan dengan membiakkan pelbagai spesies orkid hutan serta mewujudkan ladang herba yang mempelbagaikan tanaman spesies perubatan tradisional selain daripada pokok Tongkat Ali yang sudah sedia tumbuh. Pada waktu terdekat ini Pejabat Hutan dijangka akan melaksanakan kerja-kerja ‘menanda’ pokok sebagai usaha memperkenalkan pokok-pokok hutan kepada pelancung. Kesemua cadangan pembangunan Pulau Kapas ini dinyatakan oleh Encik Aimin Tahir, Penolong Pegawai Daerah yang ditemui ketika melaksanakan Program Bersih Pulau Kapas anjuran Trivicosta salah satu anak syarikat kerajaan Negeri Terengganu


Bergambar sebelum memulakan bergotong royong


Program Bersih Pulau Kapas yang diadakan adalah bersempena dengan program Kapas-Marang Swimathon International yang akan berlangsung pada 12 April ini. Kerja-kerja pembersihan ini yang telah dimulakan pada 2 hingga 4 April melibatkan dua fasa iaitu pembersihan pantai dan juga pembersihan laut. Ia melibatkan pelbagai jabatan yang diselaraskan oleh Pejabat Daerah Marang selaku urusetia program antaranya ialah, Pejabat Kesihatan, Pejabat Penerangan, JKR, Pejabat Belia dan Sukan, Terengganu Safety Training Centre (TSTC), Majlis Daerah Marang dan PDRM.



Kumpulan terlibat dalam Program Besih Pulau. Kumpulan penyelam (gambar kanan) dari TSTC bersiap sedia untuk membuat kerja-kerja 'sea clean-up'