Monday, November 16, 2009

Bill Gates Di Terengganu


Penyampaian e-book kepada pelajar oleh Datuk' Ahmad Said, Menteri Besar Terengganu. Di kanan beliau Nik Dir Nik Wan Ku, Pegawai Pembangunan DUN Rhu Rendang

MARANG - 15 Nov 2009
Tiada siapa tahu dan mampu menduga seorang lagi Bill Gates akan lahir di bumi Terengganu. Mungkin namanya bukan Bill Gates. Mungkin namanya Md Awang sahaja atau Mat Ropi. Tetapi itulah harapan YAB Datuk Ahmad bin Said Menteri Besar Terengganu ketika berucap di majlis penyerahan e-book kepada 753 orang pelajar-pelajar Tahun Lima Sekolah Rendah seluruh DUN Rhu Rendang di SK Bukit Gasing semalam. Beliau berkata impiannya hanya satu, iaitu ingin melihat bukan sahaja anak-anak Terengganu menguasai komputer tetapi juga menjadi pencipta. “Kita akan lahirkan ‘Bill Gates’ di Terengganu”.


e-book yang mengandungi perisian Tahun Empat hingga ke Tahun Enam


Setakat ini 19,000 e-book telah diserahkan kepada pelajar-pelajar Tahun Lima di seluruh Terengganu. Menjadi iltizam kerajaan negeri untuk memberi kemudahan pembelajaran yang terbaik kepada anak-anak Terengganu tanpa mengira warna kulit dan fahaman politik. “Kita tidak memilih anak siapa, PAS atau UMNO, yang penting Terengganu harus berada di tangga teratas dalam bidang pelajaran”. Setakat ini tiga buah sekolah di Terengganu tersenarai antara 20 buah sekolah terbaik di seluruh negara. Sekolah tersebut ialah SM Imtiyas Dungun, SMK Lembah Bidong, Setiu dan SMK Sains Kuala Terengganu yang berada di tangga kedua, ketiga dan ketiga belas.



Terengganu telah menunjukkan prestasi yang membanggakan, menjuarai keputusan UPSR terbaik Malaysia sepanjang tujuh tahun berturut-turut. Pada tahun lepas Terengganu muncul pula dengan keputusan STPM terbaik seluruh negara. Tahun 2009 juga menyaksikan lonjakan pencapaian pelajar-pelajar Terengganu yang memperolehi Ijazah Kelas Pertama kepada 105 orang. Peningkatan mendadak ini adalah hasil dari tawaran kerajaan negeri yang menukar status pinjaman kepada biasiswa kepada mereka yang memperolehi kelas pertama. Satu lagi pencapaian yang memberangsangkan dan membanggakan. Kerana itu penyerahan e-book ini dijangka akan mempunyai kesan berganda kepada pelajar-pelajar Terengganu yang bukan sahaja cemerlang dari pencapaian akademik tetapi juga penguasaan ilmu agama, sesuai dengan perisian e-book yang dilengkapi dengan perisian Al-Quran dan terjemahan, doa harian, Solat dan Solat-solat sunat. Tahun-tahun akan datang perisian e-book akan diperluas dengan sukatan pelajaran Tingkatan Satu sehingga Tingkatan Tiga. Ini adalah diantara langkah-langkah ’pembaharuan’ yang akan dilaksanakan oleh kerajaan negeri, termasuk merancang mengadakan peperiksaan secara maya.



Beliau juga turut menyatakan beberapa buah negeri dan negara yang berminat dengan kaedah pembelajaran menggunakan e-book. Negara Indonesia ketika ini sedang menguji pakai perisian e-book tersebut dalam bahasa pengantar Indonesia. Jika berjalan lancer seperti dijadualkan, tahun hadapan sejumlah 50,000 buah e-book akan dihantar ke negara tersebut. Begitu juga kerajaan UAE yang telah pun membuat tempahan sejumlah 2,000 buah e-book dalam bahasa pengantar Arab. Negeri-negeri yang turut menunjukan minat yang sama ialah Selangor dan Pulau Pinang.



Majlis tersebut turut dihadiri oleh YB Senator Dato Haji Abd Rahman bin Bakar, Pegawai Pembangunan Parlimen Marang, Haji Ariffin bin Embong, Pengarah Pelajaran Negeri Terengganu dan Tuan Haji Nik Dir bin Wan Ku, Pegawai Pembangunan DUN Rhu Rendang.

No comments: