Tuesday, September 29, 2009

Tokoh Pemandu Selamat

Ops Sikap XX sudah pun tamat. Tamat pada jam 12.00 malam 27 September 2009 yang lalu. Selepas 15 hari beroperasi mulai 14 September, sejumlah 261 kematian dicatat. Setiap kali Ops Sikap dilaksanakan setiap kali itu juga kita dipaparkan dengan peningkatan jumlah kematian. Sebab utama ialah kerana pemandu di Malaysia tidak pernah berubah.

Mereka dikatakan cuai, gopoh, memandu dengan laju, melanggar peraturan jalanraya, ’berlagak lebih pandai’ di jalan raya yang akhirnya telah mengundang padah dengan kehilangan nyawa.

Ia bukan sahaja melahirkan perasaan kecewa dikalangan orang ramai tetapi juga menimbulkan perasaan marah sehingga ada yang mencadangkan pesalah jalan raya patut dipenjarakan. Mereka berpendapat saman yang dikeluarkan tidak lagi mampu menyedarkan mereka dan pihak berkuasa perlu beralih kepada satu strategi baru yang lebih berkesan.

Adakah langkah memenjarakan ini boleh membawa perubahan positif. Jumaat lepas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan meluahkan rasa kecewa terhadap peningkatan kes kemalangan maut khususnya pada musim perayaan di negara ini. Katanya; "Di Malaysia, walaupun hukuman mati sekalipun (dikenakan), pengguna jalan raya akan tetap melanggar undang-undang."

Jika Tan Sri Musa boleh membuat andaian demikian, apakah pilihan yang kita ada. Sudah tentu pihak berkuasa perlu memikirkan sesuatu idea yang lebih kreatif. Bagi saya menobatkan seorang Tokoh Pemandu Selamat perlu dilakukan seperti juga kita menobatkan Tokoh Maal Hijrah, Tokoh Ibu, Tokoh Bapa, Tokoh Guru. Jika rancangan realiti TV yang lebih mengutamakan hiburan seperti Raja Lawak, Gadis Melayu, Akademi Fantasia, Mencari Cinta, Mencari Menantu dan lain-lain lagi boleh diadakan dan dipromosi dengan baik. Adalah wajar kempen keselamatan jalan raya ini juga dijadikan rancangan realiti TV dengan usaha ’Mencari Pemandu Kool”

Kegagalan Ops Sikap untuk menurunkan kadar kematian juga telah dikritik sebagai usaha pembaziran wang dan masa. Kerana perbelanjaan membina menara pemerhati polis, pemasangan lampu berkamera, pemantauan melalui udara serta rondaan polis sepanjang operasi tersebut memakan belanja besar. Perlu juga satu kajian dibuat terhadap kesan saikologi kepada tindakan ’menakutkan’ pemandu dengan penggunaan pelbagai perkataan seperti, ’Anda sedang diperhatikan’, ’Menara Permerhati Polis Di Hadapan’, ’Awas Zon Perangkap Laju’ dan slogan-slogan yang seumpamanya. Adakah perkataan itu memberi kesan yang positif atau pun pemandu-pemandu merasa ’dikongkong’ dan ’meletihkan’ sepanjang pemanduan melalui beratus-ratus kilometer lebuh raya dan jalan-jalan raya persekutuan. Akhirnya sampai ke satu tahap mereka bertindak agresif dan mencabar undang-undang.

Kita sudah perlu mengambil pendekatan yang lebih lunak seperti amalan terpuji Petronas yang memberikan kopi PERCUMA kepada pemandu-pemandu yang ingin berehat dan mendapat tenaga baru untuk meneruskan perjalanan. Pemandu yang gembira lebih mudah mengikut peraturan, memandu dengan lebih tenang dan ceria. Sewajarnya kempen keselamatan jalan raya dipelbagaikan, bukan sahaja kepada usaha penguatkuasaan yang berterusan, pendidikan yang dilaksanakan oleh MKJR (Majlis Keselamatan Jalan Raya) tetapi juga memasukkan unsur-unsur budaya, pemberian hadiah dan sokongan pihak media melalui program realiti tv.

Thursday, September 17, 2009

Bila Nak Siap ?


Air yang mengalir kerana kebocoran yang tidak dibaiki


Saliran yang tidak dibaiki mencacatkan pandangan

Bahu jalan yang tidak dibaiki

Mencacatkan penglihatan dan menggangu lalu lintas

Dahulu jalan ini cantik, ada laluan pejalan kaki dan di atasnya disusun pasu besar yang ditanam pokok bunga raya. Jalan ini betul-betul berada di hadapan Pejabat Penerangan Daerah Marang. Malangnya ia tidak dibaiki sepenuhnya dan mencacatkan pandangan mata selain menggangu kelancaran lalu lintas.

Sudah hampir setahun jalan ini dibiarkan begitu sahaja. Perkara ini berlaku dipercayai berpunca daripada masalah kontraktor yang tidak menyudahkan kerja-kerja tersebut. Ia bukan sahaja mencacatkan pandangan tetapi juga gangguan kepada lalulintas. Air pula sentiasa mengalir dalam saluran longkang kerana masih berlaku kebocoran paip. Sewajarnya pihak-pihak yang mempunyai bidang kuasa yang berkaitan seperti JKR, Majlis Daerah dan Satu mengambil langkah yang sewajarnya.

Monday, September 7, 2009

Lailatul Qadr dan Wang Dana

Kita sudah melepasi 15 hari berpuasa dalam bulan Ramadhan Al Mubarak. Ini bermakna kita sudah menghampiri 10 malam terakhir yang dijanjikan oleh Allah swt mengenai kedatangan Lailatur Qadr. Malam yang terlebih baik daripada 1000 bulan, yakni bersamaan 83 tahun 4 bulan. Sesungguhnya janji Allah itu benar bagi mereka yang istiqamah dan bertaqwa. Mudah-mudahan kita tergolong dan dipilih oleh Allah untuk menemui malam yang mulia itu.

Cuma saya tertarik dengan kata-kata sinis yang dilontarkan oleh YAB Datuk Ahmad Said, Menteri Besar Terengganu bahawa mereka lebih sanggup menunggu berjam-jam untuk mendapatkan Dana Hari Raya, Dana Remaja, Wang Zakat yang diberikan oleh Kerajaan Negeri daripada menunggu janji Allah mengenai kedatangan Lailatul-Qadr tersebut. Semakin hampir bulan Ramadhan ke penghujungnya semakin berkurangan pula saf solat di masjid dan juga di surau. Sewajarnya mereka lebih mengutamakan janji Allah daripada janji kerajaan negeri. Kata-kata ini diungkapkan beliau di 'Majlis Berbuka Puasa Bersama YAB Menteri Besar' di Masjid Sultanah Nur Zahirah, Bandar Marang pada 2 September 2009 yang lalu.
Adakah kita akan 'terpilih' jika kita masih sibuk membeli belah dan lebih selesa berada di 'teratak' kita daripada melangkah kaki ke surau dan masjid di hari-hari terakhir dan 'waktu kecemasan' ini - Bestari