Thursday, January 21, 2010

Sudut Pak Belang - ExxonMobil


Penyampaian Cek oleh Encik Lokman Baharuddin, Pengarah Sumber Manusia ExxonMobil kepada YB Ahmad Razif merangkap Pengerusi Perpustakaan Awam Terengganu

20 Januari 2010 - Marang

ExxonMobil di Malaysia telah menyumbang sejumlah RM60,000 bagi memperlengkapkan Sudut Pak Belang di Perpustakaan Marang hari ini. ExxonMobil telah memulakan usaha menyumbang terhadap pembangunan masyarakat setempat melalui penganjuran dan penajaan pelbagai program pendidikan, kesihatan,kemasyarakatan, seni dan alam sekitar sejak tahun 1990an lagi.

Pengarah Sumber Manusia ExxonMobil di Malaysia, Encik Lokman Baharuddin menyatakan Program Sudut Pak Belang ini telah dirintis mulai tahun 2009 bersama Perpustakaan Awam Kemaman dan kini program yang serupa dibangunkan bersama Perpustakaan Awam Marang.

Sumbangan kepada Sudut Pak Belang ini dilengkapi dengan pelbagai kemudahan pembelajaran. Ia bertujuan memberi kemudahan kepada kanak-kanak di Daerah Marang dengan menarik minat mereka datang ke perpustakaan. Ia termasuk kerja-kerja ubahsuai bilik bacaan, membeli peralatan komputer dan menambah bahan bacaan. Beliau percaya bahwa dengan bimbingan ibubapa dan kakitangan perpustakaan yang komited, Sudut Pak Belang mampu mempertingkatkan daya kreativiti dan kesungguhan anak-anak dalam menimba ilmu untuk menjadi pelajar yang berjaya.


YB Ahmad Razif bin Abd Rahman Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia Negeri Terengganu bergambar beramai-ramai di Sudut Pak Belang, Perpustakaan Awam Marang

Majlis ini telah dirasmikan oleh YB Haji Ahmad Razif b Abd Rahman, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi dan Sumber Manusia Negeri. Dalam ucapannya beliau merakamkan ucapan terima kasih diatas usaha syarikat Exxon-Mobil di Malaysia yang terus komited menyumbang terhadap pembangunan masyarakat terutama dalam bidang pendidikan. Beliau juga mengumumkan akan melancarkan pembinaan perpustakaan di masjid-masjid. Ini bagi memupuk minat membaca dikalangan generasi tua termasuk menarik golongan muda untuk datang berkunjung ke masjid. Masjid Tok Jembal di Kuala Terengganu dipilih sebagai projek pertama pelancaran program perpustakaan di masjid yang dijangka pada Februari ini.

Wednesday, January 13, 2010

Syura 1 Malaysia - Menang Program Memasak Bubur Syura Marang


13 Januari 2010- Marang
Bubur Syura 1 Malaysia milik pasukan Pejabat Agama Daerah Marang telah memenangi hadiah tempat pertama bernilai RM500.00 Program Memasak Bubur Asyura Peringkat Daerah Marang sempena Sambutan Maal Hijrah bagi kategori jabatan dan agensi kerajaan. Sejumlah 43 penyertaan, 16 daripada jabatan dan agensi kerajaan manakala 27 lagi daripada Ngo dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).


Salah seorang hakim sedang menilai hiasan dan juga rasa bubur syura

Program ini yang julung-julung kali diadakan di daerah ini dan pertama kali diadakan di Negeri Terengganu telah mendapat penyertaan yang menggalakan. Bermula dari jam 7.30 pagi tadi di perkarangan Masjid Sultanah Nur Zahirah, Bandar Marang turut menyaksikan Lembaga Kemajuan Perempuan Islam (LKPI) Binjai Rendah menang tempat pertama bagi kategori Ngo/JKKK. Program ini juga menawarkan hadiah tempat kedua dan ketiga yang bernilai RM300.00 dan RM200.00 setiap satu serta tujuh hadiah sagu hati bagi setiap kategori.




Encik A. Rahman Che Ali, Pegawai Daerah Marang menyampaikan hadiah kemenangan tempat pertama kepada Ustaz Mohd Ariffin bin Jusoh, Pegawai Agama Islam Daerah Marang.


Pegawai Daerah Marang Encik A. Rahman bin Che Ali berpuashati kepada penyertaan bagi program kali pertama ini. Ketika ucapan penutup program, beliau menyatakan hasratnya untuk menjadikan program ini sebagai kayu ukur kepada prestasi JKKK. Ini sebagai langkah untuk memastikan semua JKKK di daerah ini yang berjumlah 100 buah turut menyertai program ini pada tahun hadapan. Beliau juga yakin program ini akan lebih meriah dan berjaya pada tahun akan datang dengan sokongan pelbagai pihak termasuk pihak swasta dan perseorangan.



Kumpulan Komuniti Bestari Mukim Alor Limbat turut menyertai Pertandingan Memasak Bubur Asyura Peringkat Daerah Marang

Monday, January 11, 2010

Star Rating

Puan Hajah Jamilah menandatangani buku pelawat Pejabat Penerangan Daerah Marang sambil diperhatikan oleh Encik Bahauluddin Amat, Pegawai Bahagian Sumber Manusia


Taklimat Star Rating

Lawatan ke Pusat Maklumat Marang
Bergambar beramai-ramai berserta rombongan Star Rating . Turut bersama Pegawai Penerangan Daerah Marang (duduk no2 dari kanan)


11 Januari 2010 - Marang

Hajah Jamilah Shahid, Pengarah Bahagian Perancangan dan Strategik, Jabatan Penerangan Malaysia dan rombongannya telah mengadakan Audit Star Rating ke Pejabat Penerangan Daerah Marang. Ia sebahagian siri lawatan beliau ke negeri-negeri bagi meninjau persiapan Audit Star Rating jabatan yang akan dilaksanakan oleh MAMPU di peringkat negeri dan daerah dijangka bermula Februari ini. Pemeriksaan ini melibatkan bidang pengurusan, perkhidmatan teras dan pengurusan pelanggan yang melibatkan 254 sub-kriteria.

Audit Star Rating telah disarankan oleh Perdana Menteri kelima, YABhg Tun Abdullah Ahmad Badawi, pada 1 Disember 2006 di Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Keutuhan Pengurusan Kerajaan (JKKMKPK). Hanya pada 8 Februari 2007, Mesyuarat Panel Pentadbiran Awam (PANEL) telah memutuskan supaya Star Rating dilaksanakan bagi mengredkan tahap prestasi agensi-agensi kerajaan kearah meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan.

Dalam taklimatnya di sini pagi tadi Hajah Jamilah menekankan bahawa audit star rating bertujuan untuk menilai dan mengukur prestasi agensi kerajaan terus berada pada tahap yang cemerlang. Ia juga bertujuan untuk memberi publisiti yang meluas mengenai dasar, strategi dan amalan terbaik yang dilaksanakan. Pelaksanaan Audit Star Rating dijangka mampu memberi galakan persaingan sihat dikalangan agensi sektor awam.