Sunday, April 5, 2009

Indahnya Pulau Kapas



Pulau Kapas tidak asing lagi kepada penduduk Daerah Marang. Suatu ketika dahulu pulau ini hanya menjadi tempat persinggahan nelayan atau tempat berlindung daripada dipukul ribut. Hari ini Pulau Kapas seakan ‘dara pingitan’ yang sentiasa menjadi perhatian ramai pelancung dari luar dan dalam negeri. Mengambil masa cuma 15 minit menaiki bot dari Jeti Marang, pengunjung akan menikmati panaroma pulau yang mengasyikkan. Air yang jernih, pantai yang bersih, ombak beralun perlahan, kehidupan karang yang tidak terusik, flora dan fauna yang masih belum diteroka sepenuhnya meletakkan Pulau Kapas sebagai destinasi pelancongan yang berbaloi untuk dikunjungi oleh seisi keluarga.

Mereka yang berkunjung bukan sahaja boleh mandi-manda dengan tenang tetapi juga turut berpeluang untuk menikmati aktiviti berkayak, aktiviti 'snorkling' bagi menyaksikan keindahan karang dan ikan pelbagai warna, ataupun aktiviti scuba diving. Bagi mereka yang mencari ketenangan dan kedamaian, pulau ini menawarkan penginapan di chalet pada harga yang berpatutan. Bagi yang memilih untuk berkhemah, tempat perkhemahan juga disediakan tanpa bayaran yang mahal. Malah perkhidmatan feri ulang alik yang disediakan turut membolehkan pengunjung yang datang bersantai untuk menghirup udara segar dan menikmati panorama yang menarik boleh kembali ke tanah besar pada hari yang sama. Itulah kelebihan Pulau Kapas, yang tiada pada pulau-pulau lain di Terengganu.


Pulau Kapas dalam tempoh beberapa tahun lagi dipercayai akan menjadi tumpuan pengunjung bukan sahaja kepada aktiviti pantai dan hidupan laut tetapi juga kepada aktiviti meneroka hutan dengan membiakkan pelbagai spesies orkid hutan serta mewujudkan ladang herba yang mempelbagaikan tanaman spesies perubatan tradisional selain daripada pokok Tongkat Ali yang sudah sedia tumbuh. Pada waktu terdekat ini Pejabat Hutan dijangka akan melaksanakan kerja-kerja ‘menanda’ pokok sebagai usaha memperkenalkan pokok-pokok hutan kepada pelancung. Kesemua cadangan pembangunan Pulau Kapas ini dinyatakan oleh Encik Aimin Tahir, Penolong Pegawai Daerah yang ditemui ketika melaksanakan Program Bersih Pulau Kapas anjuran Trivicosta salah satu anak syarikat kerajaan Negeri Terengganu


Bergambar sebelum memulakan bergotong royong


Program Bersih Pulau Kapas yang diadakan adalah bersempena dengan program Kapas-Marang Swimathon International yang akan berlangsung pada 12 April ini. Kerja-kerja pembersihan ini yang telah dimulakan pada 2 hingga 4 April melibatkan dua fasa iaitu pembersihan pantai dan juga pembersihan laut. Ia melibatkan pelbagai jabatan yang diselaraskan oleh Pejabat Daerah Marang selaku urusetia program antaranya ialah, Pejabat Kesihatan, Pejabat Penerangan, JKR, Pejabat Belia dan Sukan, Terengganu Safety Training Centre (TSTC), Majlis Daerah Marang dan PDRM.



Kumpulan terlibat dalam Program Besih Pulau. Kumpulan penyelam (gambar kanan) dari TSTC bersiap sedia untuk membuat kerja-kerja 'sea clean-up'

2 comments:

nabilmajdi said...

Salam,
Cantik gambar di pulau kapas.. minta gunakan gambar untuk banner saya ye

Anonymous said...

salam..saya nak tahu sejauh mana pembayaran bagi yg mahu menginap di pulau kapas..start dari jeti sehinggalah tmpat tdo, makan, dan bgaimana dgn aktiviti seharian?harap dapat emailkan k email saya nurul_areda87@yahoo.com