Tuesday, September 29, 2009

Tokoh Pemandu Selamat

Ops Sikap XX sudah pun tamat. Tamat pada jam 12.00 malam 27 September 2009 yang lalu. Selepas 15 hari beroperasi mulai 14 September, sejumlah 261 kematian dicatat. Setiap kali Ops Sikap dilaksanakan setiap kali itu juga kita dipaparkan dengan peningkatan jumlah kematian. Sebab utama ialah kerana pemandu di Malaysia tidak pernah berubah.

Mereka dikatakan cuai, gopoh, memandu dengan laju, melanggar peraturan jalanraya, ’berlagak lebih pandai’ di jalan raya yang akhirnya telah mengundang padah dengan kehilangan nyawa.

Ia bukan sahaja melahirkan perasaan kecewa dikalangan orang ramai tetapi juga menimbulkan perasaan marah sehingga ada yang mencadangkan pesalah jalan raya patut dipenjarakan. Mereka berpendapat saman yang dikeluarkan tidak lagi mampu menyedarkan mereka dan pihak berkuasa perlu beralih kepada satu strategi baru yang lebih berkesan.

Adakah langkah memenjarakan ini boleh membawa perubahan positif. Jumaat lepas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan meluahkan rasa kecewa terhadap peningkatan kes kemalangan maut khususnya pada musim perayaan di negara ini. Katanya; "Di Malaysia, walaupun hukuman mati sekalipun (dikenakan), pengguna jalan raya akan tetap melanggar undang-undang."

Jika Tan Sri Musa boleh membuat andaian demikian, apakah pilihan yang kita ada. Sudah tentu pihak berkuasa perlu memikirkan sesuatu idea yang lebih kreatif. Bagi saya menobatkan seorang Tokoh Pemandu Selamat perlu dilakukan seperti juga kita menobatkan Tokoh Maal Hijrah, Tokoh Ibu, Tokoh Bapa, Tokoh Guru. Jika rancangan realiti TV yang lebih mengutamakan hiburan seperti Raja Lawak, Gadis Melayu, Akademi Fantasia, Mencari Cinta, Mencari Menantu dan lain-lain lagi boleh diadakan dan dipromosi dengan baik. Adalah wajar kempen keselamatan jalan raya ini juga dijadikan rancangan realiti TV dengan usaha ’Mencari Pemandu Kool”

Kegagalan Ops Sikap untuk menurunkan kadar kematian juga telah dikritik sebagai usaha pembaziran wang dan masa. Kerana perbelanjaan membina menara pemerhati polis, pemasangan lampu berkamera, pemantauan melalui udara serta rondaan polis sepanjang operasi tersebut memakan belanja besar. Perlu juga satu kajian dibuat terhadap kesan saikologi kepada tindakan ’menakutkan’ pemandu dengan penggunaan pelbagai perkataan seperti, ’Anda sedang diperhatikan’, ’Menara Permerhati Polis Di Hadapan’, ’Awas Zon Perangkap Laju’ dan slogan-slogan yang seumpamanya. Adakah perkataan itu memberi kesan yang positif atau pun pemandu-pemandu merasa ’dikongkong’ dan ’meletihkan’ sepanjang pemanduan melalui beratus-ratus kilometer lebuh raya dan jalan-jalan raya persekutuan. Akhirnya sampai ke satu tahap mereka bertindak agresif dan mencabar undang-undang.

Kita sudah perlu mengambil pendekatan yang lebih lunak seperti amalan terpuji Petronas yang memberikan kopi PERCUMA kepada pemandu-pemandu yang ingin berehat dan mendapat tenaga baru untuk meneruskan perjalanan. Pemandu yang gembira lebih mudah mengikut peraturan, memandu dengan lebih tenang dan ceria. Sewajarnya kempen keselamatan jalan raya dipelbagaikan, bukan sahaja kepada usaha penguatkuasaan yang berterusan, pendidikan yang dilaksanakan oleh MKJR (Majlis Keselamatan Jalan Raya) tetapi juga memasukkan unsur-unsur budaya, pemberian hadiah dan sokongan pihak media melalui program realiti tv.

No comments: