Thursday, January 21, 2010

Sudut Pak Belang - ExxonMobil


Penyampaian Cek oleh Encik Lokman Baharuddin, Pengarah Sumber Manusia ExxonMobil kepada YB Ahmad Razif merangkap Pengerusi Perpustakaan Awam Terengganu

20 Januari 2010 - Marang

ExxonMobil di Malaysia telah menyumbang sejumlah RM60,000 bagi memperlengkapkan Sudut Pak Belang di Perpustakaan Marang hari ini. ExxonMobil telah memulakan usaha menyumbang terhadap pembangunan masyarakat setempat melalui penganjuran dan penajaan pelbagai program pendidikan, kesihatan,kemasyarakatan, seni dan alam sekitar sejak tahun 1990an lagi.

Pengarah Sumber Manusia ExxonMobil di Malaysia, Encik Lokman Baharuddin menyatakan Program Sudut Pak Belang ini telah dirintis mulai tahun 2009 bersama Perpustakaan Awam Kemaman dan kini program yang serupa dibangunkan bersama Perpustakaan Awam Marang.

Sumbangan kepada Sudut Pak Belang ini dilengkapi dengan pelbagai kemudahan pembelajaran. Ia bertujuan memberi kemudahan kepada kanak-kanak di Daerah Marang dengan menarik minat mereka datang ke perpustakaan. Ia termasuk kerja-kerja ubahsuai bilik bacaan, membeli peralatan komputer dan menambah bahan bacaan. Beliau percaya bahwa dengan bimbingan ibubapa dan kakitangan perpustakaan yang komited, Sudut Pak Belang mampu mempertingkatkan daya kreativiti dan kesungguhan anak-anak dalam menimba ilmu untuk menjadi pelajar yang berjaya.


YB Ahmad Razif bin Abd Rahman Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia Negeri Terengganu bergambar beramai-ramai di Sudut Pak Belang, Perpustakaan Awam Marang

Majlis ini telah dirasmikan oleh YB Haji Ahmad Razif b Abd Rahman, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi dan Sumber Manusia Negeri. Dalam ucapannya beliau merakamkan ucapan terima kasih diatas usaha syarikat Exxon-Mobil di Malaysia yang terus komited menyumbang terhadap pembangunan masyarakat terutama dalam bidang pendidikan. Beliau juga mengumumkan akan melancarkan pembinaan perpustakaan di masjid-masjid. Ini bagi memupuk minat membaca dikalangan generasi tua termasuk menarik golongan muda untuk datang berkunjung ke masjid. Masjid Tok Jembal di Kuala Terengganu dipilih sebagai projek pertama pelancaran program perpustakaan di masjid yang dijangka pada Februari ini.

No comments: