Wednesday, March 25, 2009

Berani Berubah


Berani Berubah. Itulah intipati ucapan YAB Dato Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak Timbalan Presiden UMNO ketika merasmikan persidangan serentak perwakilan wanita, pemuda dan puteri UMNO.

Perkataan keramat ini telah mendapat sambutan daripada perwakilan yang menggariskan beberapa teras penting, menghapuskan politik wang, penghapusan kuota dalam pemilihan calon bertanding, perluasan pemilihan dikalangan ahli kepada pemimpin parti, cadangan pindaan perlembagaan UMNO sebagai usaha berani dalam membaiki kemelut UMNO untuk mendapatkan semula keyakinan semula orang Melayu dan rakyat Malaysia..

Kesungguhan Najib untuk membunuh dua penyakit utama Umno yang sudah berleluasa ini perlu digembling dengan berungguh-sungguh untuk tempoh enam bulan ini. Ia hanya dapat dilakukan dengan sokongan serta kesungguhan barisan kepimpinan di Majlis Tertinggi, Wanita, Pemuda dan Puteri. Penyakit yang sudah membarah ini telah lama menjadi perhatian umum termasuk menyekat golongan yang cerdik, ikhlas dan berwawasan dalam UMNO untuk naik ke peringkat lebih tinggi kerana gejala politik wang bermula di peringkat cawangan hinggalah ke peringkat Bahagian dan Pusat.

Berani berubah bukanlah slogan tulin yang ingin dibawakan oleh Najib. Slogan ini juga pernah digunakan oleh sebuah parti politik ketika menghadapi pilihanraya pada tahun 2004. Itu bukanlah persoalan utamanya. Cuma apakah hasrat tersebut akan dilaksanakan secara bersungguh selepas Perhimpunan Agong UMNO selesai selepas 28 hb ini. Fokus utama ialah untuk 'memperkasakan' UMNO dang ‘mengangkasakan' orang Melayu sebagai agenda Najib. Keseriusan Najib merestui dan mempertahankan tindakan Jawatankuasa Displin UMNO adalah jelas. Hukuman telah dikenakan kepada semua yang terlibat, bukan sahaja menyingkir juak-juaknya tetapi turut kepada pemimpin-pemimpin utama parti. Keberanian Najib adalah titik tolak kepada kebangkitan semula UMNO. Jika imej UMNO dapat dipulihkan dalam tempoh tiga tahun dari sekarang. Orang Melayu akan melihat semula UMNO sebagai parti yang membela nasib dan hak orang Melayu.

Kita tidak mampu lagi melihat bahawa apa yang 'dikata' tidak 'dikotakan'. Kita tidak mahu ucapan itu bagai kokok yang berdegar-degar tetapi tahi tersangkut di gelegar.. Majoriti orang Melayu adalah ‘penyokong senyap’ yang ingin melihat semula ‘angin perubahan’ dalam UMNO. Melatih dan mewujudkan silibus perkaderan ahli UMNO secara tersusun di seluruh negara harus dijangka memberi impak besar kepada hala tuju UMNO selepas ini. Ahli UMNO harus difahamkan tentang budaya, matlamat, perjuangan dan tradisi UMNO. Budaya cantas mencantas, memintas ahli-ahli cerdik dan ikhlas, politik wang, kroni, berpuak-puak wajar terus dihapuskan untuk menjernih UMNO sebagai parti perjuangan yang tulin. Pemimpinnya perlu merendah diri, bukan untuk dipijak tetapi untuk sama menyelami kehendak dan berkhidmat untuk rakyat. Membuang sifat elitis, dan parti UMNO dipunyai oleh rakyat. Inilah janji-janji sarat yang perlu ditunaikan oleh Najib sebagai Presiden UMNO. Tanggungjawab besar akan tergalas di bahu beliau, tanggungjawab sebagai khalifah parti UMNO dan juga pemacu utama Negara sebagai Perdana Menteri.

Ahli-ahli Umno harus bersama-sama menyokong perjuangan Najib jika hendak melihat Umno terus relevan. Budaya SI (salam isi) hendaklah dihapuskan daripada menjadi amalan budaya UMNO. UMNO adalah parti perjuangan. Parti yang berjuang untuk memerdekakan negara. Inilah sejarah UMNO sebenarnya. Bukan parti yang mengejar projek, jawatan dan harta benda, Umno adalah parti berjiwa rakyat bukannya parti golongan elit.

No comments: