Tuesday, June 23, 2009

Pegawai RELA Daerah Marang Bertukar


Lt.Kol (RELA) Haji Ayob bin Haji Sabu Pegawai Daerah Rela Marang akan bertukar ke Pejabat RELA Negeri Kedah Darul Aman berkuatkuasa 1 Julai 2009. Kami warga Info Marang mengucapkan selamat bertukar dan selamat maju jaya.

Wednesday, June 17, 2009

Pelajari Blog Di Info Desa Alor Limbat

Peserta yang sedang meneliti tugasan yang sedang diberikan


Alor Limbat – 17.6.2009 (Rabu)

Seramai 20 orang penjawat awam dari Kementerian Penerangan, Kebudayaan dan Kesenian telah mengikuti kursus pendek selama tiga hari di Info Desa, Alor Limbat mulai 17-19 Jun ini. Mereka terdiri daripada anggota Jabatan Penerangan Negeri Terengganu, Jabatan Penyiaran Terengganu, Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) dan Bernama.


Encik Ikram bin Hashim, Pengurus Info Desa, Alor Limbat sedang membantu peserta kursus

Peserta yang menjalani kursus tersebut akan diajar cara dan kaedah mendaftar laman blog masing-masing sebagai kemahiran baru seiring dengan perkembangan teknologi komunikasi terkini. Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Terengganu Hajah Halimaton Hamza pula mengulas bahawa ini adalah sebahagian daripada keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Penyelaras Kementerian Penerangan (JKPKP) Negeri Terengganu yang bertujuan untuk memberi nilai tambah dan pengetahuan baru kepada anggota jabatan dan agensi untuk membantu mereka meningkatkan kerja yang lebih efisien. Beliau juga turut mengucapkan terima kasih kepada kerjasama yang diberikan oleh pengurusan Info Desa, Alor Limbat yang memberi komitmen yang tinggi dalam memberi kemudahan kursus kepada penjawat awam agensi dan jabatan dibawah kementerian secara percuma.

Peserta dari Jabatan Penyiaran Terengganu, Rohani, Ijoi dan Farah
Info Desa, Alor Limbat yang mula beroperasi sejak tahun 2006 telah pun mengendalikan lebih daripada 20 siri kursus dan melatih 400 orang peserta. Kursus yang ditawarkan termasuk pakej Microsoft Officce, Membina Laman Web dan Blog secara percuma serta menawarkan elaun sara hidup RM 90.00 sehari kepada mereka yang menghadiri kursus. Keutamaan diberikan kepada peserta-peserta bukan pelajar sekolah seperti warga desa, kumpulan belia, kakitangan kerajaan, dan pertubuhan bukan kerajaan. Ketua Jurulatih Info Desa, Cik Roslina Rosdi, yang ditemui mengatakan sambutan daripada orang ramai agak menggalakkan dan kursus yang berlangsung sekarang memasuki siri yang ke 6 bagi tahun 2009.

Peserta Jabatan Penerangan Terengganu dari hadapan, Nik, Shafri, Siti Mariam, Juliana


Nota:
Bagi yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut boleh menghubungi terus Encik Ikram bin Hashim, Pengurus Info Desa, Alor Limbat, Marang di talian : HP 013-646 3272

Tuesday, June 16, 2009

Citra IKBN

WAKAF TAPAI - (16.6.2009)
Seramai 200 orang pelajar dari 13 buah sekolah menengah kebangsaan seluruh Daerah Hulu Terengganu telah berkampung di IKBN Wakaf Tapai Marang bagi mengikuti program Citra IKBN yang berlangsung mulai semalam sehingga 20 Jun 2009. Program ini yang bertujuan untuk 'memasyarakatkan' instiutusi ini dengan memberi peluang kepada golongan belia dan masyarakat setempat mengenali IKBN. Pada masa yang sama meluaskan lagi peranan dan sumbangan IKBN kepada pembangunan sahsiah golongan belia dan masyarakat sekitar.

Mengikuti aktiviti ceramah Pejabat Penerangan Daerah Marang

Sepanjang enam hari program Citra IKBN, pelajar-pelajar dari Tingkatan Empat, Lima dan Enam akan diberi pendedahan kepada kursus-kursus kemahiran yang terdapat di instiutusi ini seperti pendawaian elektrik, kimpalan, jurukerja paip, jurubina bangunan dan pembuatan baju lelaki dan perempuan.. Ia juga sebagai usaha mempromosi peluang-peluang yang boleh direbut dikalangan pelajar-pelajar yang tidak berjaya dibidang akademik. Program Citra IKBN mengandungi modul-modul yang memberi penekanan terhadap aspek dan nilai positif yang mampu menyumbang kearah pembentukan belia seperti, nilai jati diri, kepimpinan, kerohanian, displin, patriotisme dan kesukarelaan.



Sepanjang tempoh program, aktiviti-aktiviti pendedahan peluang latihan dan kemahiran, ceramah dan forum, sukan dan rekreasi, pembentukan kumpulan dan LDK, motivasi dan kaunseling, kerohanian dan keagamaan serta pelaksanakaan aktiviti perkhemahan. Program ini yang dirasmikan oleh Tuan Haji Mohd Baki bin Yaakob, Pengarah IKBN, Wakaf Tapai akan tamat di Pusat Latihan Felda Kerteh, Kemaman untuk mengikuti satu lagi aktiviti gotong royong dan kemasyarakatan dengan mengadakan 'khidmat masyarakat' kepada penduduk kampung setempat.


Sebahagian peserta-peserta pelajar perempuan

Thursday, June 11, 2009

Taklimat dan Demontrasi Kebakaran Di Perpustakaan

Marang - (11 Jun 2009)

Perpustakaan Awam Daerah Marang telah mengambil langkah proaktif mengadakan taklimat Pencegahan dan Demontrasi Memadamkan Kebakaran kepada kakitangan perpustakaan peringkat Daerah Marang. Program separuh hari ini telah mendapat kerjasama sepenuhnya daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Daerah Marang yang memberi taklimat kepada 30 orang termasuk 19 orang kakitangan daripada 13 buah Perpustakaan Desa di Marang.



Sebahagian demontrasi penggunaan pemadam api kepada petugas perpustakaan

Pegawai Perpustakaan Awam Marang, Encik Mohd Noraladdin bin Husin berharap program ini akan berjaya meningkatkan kesedaran kakitangan Perpustakaan Awam dan Perpustakaan Desa supaya lebih peka kepada tindakan pencegahan serta mampu bertindak dalam keadaan cemas. Beliau berhasrat program seumpama ini akan dapat diadakan lagi pada masa akan datang bagi memantapkan pengetahuan kakitangan mengenai langkah-langkah pencegahan dan mengurangkan risiko kebakaran di perpustakaan.

Ahli Bomba Encik Nik Mat bin Ali sedang memberi taklimat mengenai kotak fius elektrik

Tuesday, June 9, 2009

Potret YAB PM dan Barisan Kabinet 2009

Pejabat Penerangan Daerah Marang ketika ini telah mula mengedarkan potret YAB Dato Seri Mohd Najib Tun Abd Razak dan Barisan Kabinet Malaysia 2009.
Untuk keterangan lanjut orang ramai boleh menghubungi pejabat ini pada hari-hari bekerja, Ahad (8.00 pagi - 5.00 petang) hingga Khamis (8.00 pagi- 3.30 petang). Edaran adalah terhad.
Potret YAB Dato Seri Mohd Najib Tun Abd Razak, Perdana Menteri
Barisan Kabinet Malaysia 2009

Monday, May 25, 2009

RM 1.3 Bilion Untuk Pembangunan Marang

Majlis menandatangani penyerahan Jalan Temala Hilir , Encik Ir Hj Che Kamaruddin b. Bahar wakil Pengarah JKR Terengganu (kiri), Nik Abd Kadir bin Nik Mohammad wakil Ketua Setiausaha KKLW. YB Yahya Khatib Mohammad (berdiri berbaju gelap) dan di sebelahnya kirinya Ir Haji Mohd Yasim A Ghani, Jurutera Daerah Marang


Peruntukkan pembangunan tahun 2009 bagi Daerah Marang melebihi RM 1.3 bilion. Ia dinyatakan oleh YB Yahya Khatib Mohamad Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam Negeri pada sidang media di Majlis Penyerahan Jalan Luar Bandar (JLB) Jalan Temala Hilir ke Paya Kemudi Jaba. Antara projek-projek utama ialah pembinaan Kolej Matrikulasi Marang bernilai RM265 juta di Serating, pembinaan empat fakulti Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di Bukit Khor bernilai RM 800 juta. Pembinaan Bangunan Gunasama Persekutuan dan Pejabat Agama Daerah Marang yang masing-masing bernilai 6 juta ringgit. Selain daripada cadangan membina tiga jalan baru iaitu jalan empat lorong Binjai Rendah ke Durian Guling, Chakor Pak Abas ke Undang dan jalan pintas dari Kubu ke Bukit Bading Daerah Hulu Terengganu yang bernilai RM 50 juta. Kesemua projek tersebut dijangka akan mula dilaksanakan pada tahun ini.

Penyerahan dokumen Jalan Temala Hilir ke Paya Kemudi

Di majlis yang sama beliau turut menyaksikan acara menandatangani penyerahan Jalan Projek Luar Bandar daripada JKR Terengganu kepada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW). Jalan Temala Hilir ke Kemudi Jaba ini merupakan jalan pintas dari Kg Pengkalan Berangan, Marang ke Bukit Apit di Hulu Terengganu. Jalan sepanjang 700 meter dengan kos RM 2.3 juta telah siap dibina oleh Syarikat Pembinaan Kubang Palas Sdn. Bhd. dalam tempoh empat bulan lebih awal dari jangkamasa tujuh bulan yang ditetapkan.


Kontraktor Tuan Haji Abdullah bin Mamat, Syarikat Kubang Palas Sdn Bhd yang berjaya menyiapkan projek dalam tempoh empat bulan

Tuesday, May 19, 2009

Jadual Pembaharuan Lesen Senjata Api Marang 2009

Ibu Pejabat Polis Daerah Marang telah mengeluarkan kenyataan bahawa pemegang lesen senjata api yang telah tamat tempoh WAJIB memperbaharui semula mengikut jadual yang dikeluarkan bagi tahun 2009/2010 seperti tempat, tarikh dan masa berikut:-


Ibu pejabat Polis Daerah Marang

9 Jun 2009 - 8.30pagi - 12.00tengahari

10 Jun 2009 - 8.30pagi - 12.30 tengahari

22 Jun 2009 - 8.30pagi - 12.30 tengahari


Balai Polis Bukit Payong

16 Jun 2009 - 8.30 pagi - 12.30 tengahari


Balai Polis Wakaf Tapai

14 Jun 2009 - 8.30 pagi - 12.30 tengahari


Balai Polis Merchang

15 Jun 2009 - 8.30 pagi - 12.30 tengahari



Balai Polis Bukit Payong

17 Jun 2009 - 8.30 pagi - 12.30 tengahari
(AHLI RELA SAHAJA)


Ibupejabat Polis Daerah Marang

24 Jun 2009 - 8.30 pagi - 12.30 tengahari
(AHLI RELA SAHAJA)



Peraturan pembaharuan meliputi perkara-perkara berikut iaitu:-

a) pemegang lesen senjata api sendiri adalah dikehendaki membawa bersama senjata api yang dimiliki, buku lesen dan kad pengenalan pada masa hendak memperbaharui lesen untuk diperiksa sebelum lesen berkenaan di perbaharui. Pemegang lesen tumpang pakai juga dikehendaki datang bersama untuk pembaharuan lesen tersebut.

b) pemilik-pemilik senjatapi yang syarat kegunaanya untuk sukan, jaga diri/harta benda adalah dikehendaki mengemukakan sijil kecekapan/kad keahlian daripada pasukan menembak yang berdaftar .

c) Pelesen-pelesen yang berusia 60 tahun dan ke atas dikehendaki membawa bersama laporan Doktor dan Hospital Kerajaan/klinik swasta mengenai keupayaan mengendalikan senjata api yang dimiliki dari segi fizikal dan mental.

PERINGATAN: Sesiapa yang didapati tidak memperbaharui lesen senjata api selewat-lewatnya pada 30 Jun 2009 boleh didakwa di bawah seksyen 8 Akta senjata api 206/1960 kerana memiliki senjata api tanpa lesen yang sah.