Thursday, May 7, 2009

Kolej Matrikulasi Terengganu Dibina di Marang


YAB Datuk Ahmad Said menerima taklimat projek Kolej Matrikulasi Terengganu di tapak pembinaan

Daerah Marang telah dipilih sebagai lokasi Kolej Matrikulasi Terengganu yang akan memulakan kerja-kerja pembinaannya mulai pertengahan tahun ini. Kolej yang menelan perbelanjaan RM 200 juta itu akan dibina diatas tapak seluas 46 hektar di Serating, Marang. Kolej yang mampu menampung 3,000 pelajar akan mula menerima kemasukan pelajar baru pada tahun 2010. Ia dinyatakan dalam taklimat ringkas kepada YAB Datuk Ahmad Said Menteri Besar Terengganu di tapak Kolej Matrikulasi tersebut sempena Lawatan Sehari Bersama Menteri Besar di Dun Rhu Rendang hari ini.




Tapak Kolej Matrikulasi Terengganu di Serating lebih kurang 15 km dari Bandar Marang


Selain daripada Kolej Matrikulasi Terengganu, Daerah Marang juga menerima ‘pakej’ pembangunan berjumlah RM 800 juta ringgit dalam tempoh lima tahun termasuk pembinaan empat fakulti Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di Bukit Khor, pembinaan Kompleks Gunasama di Bukit Mawi dan Pejabat Agama Daerah Marang masing-masing bernilai RM6 juta ringgit.


YAB Menteri Besar menyampaikan oleh replika anak kunci balairaya kepada wakil penduduk. Kanan sekali Haji A.Rahman Che Ali, Pegawai Daerah Marang.


Sebelum itu Datuk Ahmad Said di majlis perasmian Balairaya Kampung Seberang Marang telah memperuntukan sejumlah RM 50,000 bagi kelengkapan balairaya tersebut termasuk kemudahan ICT ala ‘Cyber CafĂ©’. Di majlis yang sama beliau turut meluluskan peruntukkan bernilai RM 1 juta bagi pembinaan lima lagi balairaya baru dalam kawasan Dun Rhu Rendang.



Pasar Baru Marang yang berharga RM2 juta akan beroperasi menjelang hujung tahun ini.


YAB Menteri Besar dalam jadual Lawatan Seharinya ke Marang singgah melihat kemajuan pembinaan Pasar Marang


Pada majlis lawatan di Asrama Anak-Anak Yatim PERKAYA, Serating, YAB Mernteri Besar juga telah meluluskan peruntukkan kepada bengkel pertukangan dan jahitan berjumlah RM 400,000. Ini adalah sebagai usaha membaik pulih semula bengkel tersebut yang terbiar ketika asrama ini dibawah jagaan kerajaan negeri semasa pemerintahan PAS.

YAB Menteri Besar diperkenalkan kepada AJK Asrama PERKAYA



Beliau juga diberi penghormatan memeriksa perbarisan kehormat terdiri daripada anak-anak PERKAYA

Segala projek yang dilaburkan ke Daerah Marang dalam tempoh lima tahun ini dijangka akan berupaya merubah lanskap pembangunan daerah ini sesuai dengan slogan Marang Maju 2015.

Sunday, May 3, 2009

Gotong Royong K-Bestari Mukim Pulau Kerengga




Timbalan Pengerusi K-Bestari Mukim Pulau Kerengga, Encik Zaimi Endut


Satu majlis gotong Royong anjuran K-Bestari Mukim Kelulut dengan kerjasama Majlis Daerah Marang telah diadakan pada 30 April 2009 yang lalu di tanah perkuburan dan Masjid Kelulut. Seramai 50 orang ahli K-bestari dan warga kampung turut serta di program tersebut. Gotong-royong ini diadakan bersempena dengan sambutan lawatan YAB Menteri Besar Terengganu yang dijadualkan pada 7 Mei 2009 ini. Timbalan Pengerusi K-Bestari Mukim Kelulut, Encik Zaimi Endut turut menyatakan program ini mampu meningkatkan semangat kerjasama dikalangan warga kampung dengan melibatkan agensi kerajaan. Turut bersama diprogram ini ialah Yang Di Pertua Majlis Daerah En Alias bin Nik.
YDP Majlis Daerah Marang Haji Alias bin Nik turut serta serta dalam program tersebut






Sebahagian warga kampung yang turut bergotong-royong membersihkan kubur Kg Kelulut



Thursday, April 30, 2009

Terengganu Pembekal Daging Kambing 2015

Datuk Ahmad Said dibawa melawat Ladang kambing. Dari kiri Dr Azizul Mohd Sharun, Pengarah Jabatan Haiwan Terengganu dan Haji Zainudin bin Haji Zakaria, Pengusaha Ladang Cosmopal

Terengganu akan menjadi pembekal daging kambing terbesar di Semenanjung apabila tidak lagi mengimpot daging kambing dari luar negara pada tahun 2015. Kenyataan ini dikeluarkan oleh Dr Azizul Mohd Sharun, Pengarah Jabatan Haiwan Negeri, ketika lawatan kerja YAB Menteri Besar Terengganu di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Ladang Cosmopal Serating, Marang hari ini. Jabatan Haiwan Negeri pula katanya, sedang dalam usaha meningkatkan jumlah pengusaha penternak kambing daripada 15 yang sedia ada kepada 25 pengusaha untuk mencapai sasaran memiliki bekalan daging kambing 65 peratus menjelang tahun 2013.


Taklimat mengenai ternakan kambing di kandang

YAB Datuk Ahmad Said Menteri Besar Terengganu dalam majlis yang sama turut meluluskan seluas 50 ekar tanah pertanian bagi menampung bekalan makanan kambing dengan penanaman rumput dan jagung. Ladang tersebut yang kini menternak sejumlah 1,700 ekor kambing jenis Jamnapari dijangka mampu menternak sehingga 4,000 ekor kambing dalam tempoh lima tahun akan datang. Beliau juga meminta Exco Pertanian memperluaskan projek penternakan kambing kepada individu miskin terutama dibawah projek PPRT. Jabatan Haiwan setakat ini sudah mempunyai program penternakan kambing kepada individu yang layak dengan peruntukkan sejumlah RM15,000 untuk binaan kandang dan 10 ekor kambing.


Menyusukan anak kambing jenis Jamnapari.

Tuesday, April 14, 2009

JKR, Kemas, Johan Gerai Pekan Budaya Marang 2009



JKR gondol Piala Pusingan Gerai Tercantik

JKR Daerah Marang telah berjaya menggondol Piala Pusingan Gerai Tercantik manakala Pejabat Kemas Daerah Marang pula telah berjaya menggondol Piala Pusingan Gerai Terbaik Pekan Budaya Daerah Marang 2009. Dua puluh buah agensi dan jabatan telah turut menyertai gerai pameran di Pekan Budaya 2009 tahun ini. Hadiah-hadiah kemenangan tersebut telah disampaikan oleh Tuan Haji A.Rahman Che Ali, Pegawai Daerah Marang merangkap Pengerusi Pekan Budaya 2009 Daerah Marang.





Pegawai Kemas menerima hadiah kemenangan Gerai Terbaik Pekan Budaya 2009 dari Tuan Haji A.Rahman Che Ali, Pegawai Daerah Marang

Dalam ucapan perasmian penutup Pekan Budaya 2009, Haji A.Rahman turut berpuas hati kepada kehadiran orang ramai yang memberangsangkan sepanjang tujuh hari pesta ini berlangsung. Ini katanya, sebagai petanda baik kepada usaha kerajaan Negeri Terengganu dalam memperkenalkan budaya dan tradisi tempatan. Beliau juga berharap kerajaan negeri dapat memperuntukkan bajet yang lebih besar pada tahun hadapan berdasarkan komitmen jabatan dan agensi yang 'turun padang' melalui perkhidmatan kaunter secara efektif kepada pengunjung seperti, Pejabat Daerah, Majlis Daerah Marang dan Jabatan Pengangkutan Jalan.



Persembahan Dikir Barat di Perasmian Penutup Pekan Budaya 2009
Majlis Penutup ini turut dihadiri oleh Pegawai Kesihatan Daerah, Ketua Pentadbir Tanah Daerah, Pegawai Agama Islam Daerah dan ketua-ketua jabatan diperingkat Daerah Marang

Monday, April 13, 2009

Syukran Shabree Ahlan Wasahlan Rais


Pengumuman kabinet rakyat oleh YAB Dato Sri Mohd Najib, Perdana Menteri turut menyusun semula Kementerian Penerangan, Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi dan Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan kepada Kementerian Penerangan, Komunikasi, Kesenian dan Kebudayaan.

Ini bermakna keluarga Kementerian yang disusun semula ini semakin besar dari segi jumlah jabatan dan kakitangannya. Meriah. Kami warga Pejabat Penerangan Daerah Marang merakamkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada YB Datuk Ahmad Shabree Cheek yang telah menerajui kementerian ini selama 1 tahun 1 bulan. Banyak nafas baru yang telah dibawakan oleh beliau seiring dengan perkembangan dan persaingan komunikasi masakini. Kami juga turut mengucapkan selamat datang kepada YB Dr Datuk Seri Dr Rais Yatim yang bagaikan sirih pulang ke gagang, pinang pulang ke tampuknya.

Thursday, April 9, 2009

Kerjasama Penerangan dan Perpustakaan Marang


Mempelajari sistem OPAC secara online.
Empat orang anggota Pejabat Penerangan Daerah Marang telah mengikuti latihan OPAC (Online Public Access Catalog) di Perpustakaan Awam Marang semalam. Latihan sambil bekerja ini bertujuan mendedahkan anggota-anggota Pejabat Penerangan Daerah Marang kepada kaedah merekodkan buku-buku dan bahan penerbitan secara sistematik menggunakan katalog.

Tatacara mengkatalog penerbitan secara manual

Kakitangan jabatan yang sedang membuat latihan

"Pejabat ini merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada Perpustakaan Marang yang telah bersedia untuk berkongsi pengetahuan serta melatih kakitangan kami". Ia dinyatakan oleh Encik Shabli bin Arshad, Pegawai Penerangan Daerah Marang selepas tamat latihan. Beliau juga berharap bahawa kerjasama seumpama ini terutama dalam perkongsian maklumat dan juga latihan akan dapat dipertingkatkan lagi pada masa hadapan bagi faedah awam.




Mohd Noraladdin Hussin Pegawai Perpustakaan Marang bersama Pegawai Penerangan Daerah Marang

Latihan ini sebagai langkah meningkatkan kemahiran petugas kepada fungsi PMR (Pusat Maklumat Rakyat) di Pejabat penerangan Daerah secara lebih berkesan. PMR yang sering dikunjungi oleh pelanggan-pelanggan bukan sahaja boleh mendapatkan perkhidmatan internet secara percuma tetapi juga mendapatkan maklumat mengenai dasar-dasar kerajaan dan pengetahuan am serta profail daerah.

Wednesday, April 8, 2009

Kebersihan Tanggungjawab Bersama

Rakyat Terengganu perlu menjaga kebersihan pantai-pantai di Negeri Terengganu tanpa menunggu peristiwa atau acara penting. Ia sewajarnya menjadi tanggungjawab untuk memastikan pantai sentiasa bersih dan terjaga. Penjagaan pantai secara berterusan mampu menarik lebih ramai kehadiran pelancong-pelancong dari luar dan dalam negeri. Harapan ini dinyatakan oleh Datuk Wan Zahari Wan Ngah, Pengarah Trivicosta ketika berucap di majlis gotong-royong bersempena dengan program Kapas Marang Swimathon International 2009 dan Pekan Budaya Marang 2009 di Pantai Peranginan Kelulut semalam.



Datuk Wan Zahari turut sama bergotong royong


Dianggarkan seramai 50 orang turut serta dalam program gotong-royong tersebut yang dianjurkan oleh Trivicosta dan Majlis Daerah Marang. Ia turut membabitkan anggota pelbagai jabatan dan penduduk kampung yang berdekatan. Program ini yang bermula pada jam 8.30 pagi dan berakhir pada tengahari meliputi kawasan pantai sepanjang 2 kilometer. Turut bersama-sama dalam program tersebut ialah Haji A.Rahman Che Ali, Pegawai Daerah Marang dan Jusman Ibrahim, Setiausaha Majlis Daerah Marang.