Sunday, December 6, 2009

Local Agenda 21- Bersama Ke Arah Pembangunan Mampan

YB Dato Haji Mokhtar bin Nong, SUK Negeri Terengganu (tengah) Dato' Jamry bin Sury, Pengarah Bahagian Dasar Dan Kemajuan Kerajaan Tempatan , Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (kiri) dan Encik Mohd Elias bin Nik , YDP Majlis Daerah Marang (kanan)


MARANG - 3 Disember

Agenda Local 21 lahir di Persidangan Earth Summit di Rio de Janeiro tahun 1992. Ia adalah sebahagian daripada lima dokumen penting yang menekankan kepada pembangunan mampan yang melibatkan tiga pihak iaitu Pihak Berkuasa Tempatan (kerajaan), Masyarakat dan sektor swasta. Ketiga-tiga komponen ini akan bekerjasama untuk merancang dan menguruskan kawasan persekitaran mereka ke arah pembangunan mampan dan kualiti hidup yang lebih harmoni.


Penerapan pembangunan mampan juga didefinasikan sebagai proses pembangunan dan keperluan sekarang tanpa menidakkan keperluan generasi akan datang. Ia memberi fokus kepada penjagaan alam sekitar yang berterusan termasuk penjagaan sumber tenaga, kawalan keselamatan dan pertumbuhan penduduk. Kesemua ini dilaksanakan dengan mengambil kira faktur kepentingan ekonomi , sosial dan pemuliharaan alam sekitar.

Bengkel Local Agenda 21 Marang (LA21 Marang) yang berlangsung di Marang Waterfront Resort & Spa telah dirasmikan oleh YB Dato' Haji Mokhtar bin Nong, Setiausaha Kerajaan Terengganu yang dihadiri oleh 80 orang peserta bengkel meliputi wakil-wakil daripada sektor swasta, pemimpin masyarakat, agensi dan jabatan kerajaan. Fasilitator bengkel terdiri daripada tokoh-tokoh terkemuka akademik dan aktivis sosial iaitu, Prof Dato Mohamad bin Abu Bakar, bekas Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya, Prof. Dr Nor Aieni Hj Mokhtar, Pengarah Bahagian Direktorat Oseanografi Kebangsaan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Prof Adjung, Universiti Malaysia Terengganu dan Puan Mariam Rahimah bt Mukhtar aktivis masyarakat.

Encik Mohd Elias bin Nik, Yang Di Pertua Majlis Daerah Marang menaruh harapan tinggi kepada resolusi yang dicapai hasil perbincangan peserta dalam bengkel ini dapat diimplemantasikan kepada pembangunan Marang dalam tempoh sepuluh tahun mulai sekarang. Sebagai PBT pertama yang merintis kepada usaha pelaksanaan pelan LA21 Marang, beliau berkeyakinan sokongan ketiga-tiga sektor ini akan terus memberi fokus kepada pembangunan sektor pelancongan, sektor industri pemakanan dan meningkatkan ekonomi penduduk.