Tuesday, October 6, 2009

Satu Malaysia: Mencari satu Definisi (3)

sambungan.......

Mencari Satu Definisi
Apakah yang dimaksudkan dengan Gagasan Satu Malaysia? Adakah ia relevan dalam konteks masyarakat negara ini walaupun pelbagai slogan, ungkapan dan imej cuba diterap dalam kalangan ahli masyarakat sebelum ini? Mengapa sekarang? Adakah kerana keadaan politik yang tidak menentu dan krisis ekonomi global yang semakin meruncing memerlukan sokongan kesemua ahli masyarakat? Sejauhmanakah populasi negara ini memahami intipati gagasan ini ataupun ia masih menimbulkan kekeliruan dan siapakah yang bertanggungjawab dalam menimbulkan kegelisahan ke atas gagasan ini.
Asas kekuatan pentadbiran beliau adalah ke atas pembentukan Satu Malayusia yakni kesemua ahli masyarakat akan mengutamakan nilai perpaduan dan menjadikan negara ini sebagai teras utama 'Satu Negara, Satu Matlamat' dan berpaksikan kepada tiga teras iaitu prinsip penerimaan; kenegaraan dan keadilan sosial. Ini merupakan pelengkap kepada Wawasan 2002 dan gagasan lain yang pernah dikemukakan oleh Perdana Menteri sebelum ini. Satu Malaysia dijadikan penggerak ketika kelangsungan politik arus perdana yang berada dalam keadaan tidak menentu. Bermakna, walaupun berbeza pandangan dan ikatan politik, ia tidak wajar digunakan untuk memadamkan nilai kesepaduan yang sudah terbina sekian lamanya.


Satu Malaysia walaupun dikatakan masih belum menjana kepercayaan sepenuhnya, tetapi ia penting untuk persekitaran politik arus perdana. Konsep adalah sebahagian dari kehidupan awam dan manipulasi tingkah laku politik. Yang penting adalah sejauhmana ada keazaman dan motivasi untuk memimpin dan memberi panduan dibelakang konsep ini. Adakah ia semata-mata konsep atau ada penerangan berterusan di belakang konsep ini?. Satu Malaysia hakikatnya memberi indikator bahawa ada perubahan penerimaan keatas kepimpinan Perdana Menteri.

Satu Malaysia merupakan gagasan pemahaman, keyakinan, penghormatan, dan pengiktirafan nilai kemasyarakatan demografi dan geografi negara ini. Ia melangkaui usaha mempertahan dan mengukuhkan kemuafakatan dan perpaduan negara ini yang memerlukan rasa tanggungjawab dan kejujuran yang menyuburkan nilai tolak ansur, hormati-menghormati dan saling faham memahami anatara satu sama lain. Ia bukan kepercayaan baru, ia bukan manifestai ajaran baru; ia lahir dalam memanam dan menerap nilai kemanusiaan supaya masing-masing dapat bersama dalam menagani apa sahaja cabaran dan meraikan kecemerlangan kerana percaya dan yakin kesemuanya mempunyai satu matlamat iaitu mempertahankan kedaulatan negara ini berpaksikan kepada nilai patriotisme dan nasionalisme yang hebat memagari diri setiap individu dari sifat prasangka dan saling syak wasangka serta mencurigai antara satu sama lain yang boleh menggangu proses memakmurkan negara ini. Semangat kekitaan yang tebal sehingga bersedia menjayakan gagasan besar Satu Malaysia ini.
(Petikan Kertas Kerja Satu Malaysia: Pendefinisian, Pemahaman dan Pelaksanaan, Dr Sivamurugan, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, USM)

Monday, October 5, 2009

Satu Malaysia: Najib Satu Malaysia (2)

sambungan.....

Najib Satu Malaysia

Sehingga ke hari ini, transisi peralihan kepimpinan dalam negara berlaku dengan licin dan lancar. Pada 3 April 2009, Malaysia mencipta satu lagi sejarah baru dalam warisan kepimpinan negara apabila Datuk Seri Mohd Najib Tun Abd Razak mengambil alih teraju kepimpinan negara dengan persaraan Tun Abdullah Ahmad Badawi (2003-2009) sekaligus menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ke enam. Seiringan dengan itu, Najib telah mengumumkan bahwa kepimpinan beliau akan berteraskan kepimpinan "Satu Malaysia" dengan ditunjangi oleh lapan nilai utama termasuklah budaya kecemerlangan, penerimaan, pendidikan, integriti, meritokrasi, rendah hati dan kesetiaan yang dapat di iktiraf sebagai nadi pembangunan, perkembangan dan pencapaian matlamat Satu Malaysia ini.
Transformasi dalam kalangan masyarakat dijangka dapat direalisasikan sekiranya pengisian yang sewajarnya dilakukanan agar nilai tersebut boleh mencambah budaya pemasyarakatan dalam negara ini. Oleh yang demikian, kertas kerja ini akan menjurus kepada soal pemahaman ke atas gagasan Satu Malaysia dan bagaimanakah ia boleh dijadikan sebagai satu amalan dalam kalangan masyarakat dan seterusnya memelihara kesejahteraan komuniti yang menghuni negara ini tanpa mengira agama, keturunan, kepercayaan, gender mahupun latar belakang pendidikan dan pekerjaan.
Barangkali Najib yang berumur 55 tahun mempunyai ruang yang besar untuk melakukan perubahan melalui Satu Malaysia tetapi apakah beliau akan dibenarkan untuk membawa perubahan drastik?. Dengan warisan peninggalan jika diimbas sejak pemerintahan Dato Onn Jaafar diikuti dengan kedudukan Perdana Menteri ketiga, Tun Hussien Onn, , beliau merupakan anak Perdana Menteri yang pernah menduduki kerusi ini. Beliau hanya berumur 22 tahun ketika bapanya, Tun Abdul Razak meninggal dunia akibat penyakit leukemia. Lima minggu selepas itu, beliau menjadi ahli parlimen yang termuda dalam sejarah kepimpinan politik Malaysia, Timbalam Menteri ketika berusia 23 tahun, Menteri Besar pahang ketika berumur 29 tahun dan 32 tahun ketika menyertai kabinet kerajaan. Dalam parti pula Najib menjadi Ketua Pemuda sejak 1987 sehingga 1993 dan kini menjadi Presiden parti. 32 tahun dalam sistem tadbir urus negara menunjukkan beliau arif selok belok kekuatan dan kelemahan sistem di peringkat nasional, negeri, dan lokal. Bagaimana pengalaman ini ini boleh diadun dengan suasana persekitaran semasa akan memperlihatkan kematangan kepimpinan Najib untuk berhadapan dengan sebarang cabaran. Satu Malaysia merupakan salah satu cabaran yang memerlukan pengiktirafan untuk mendapatkan semula kepercayaan dan keyakinan ahli masyarakat. Sejauhmanakah benar Satu Malaysia ini merupakan sekadar satu konsep yang hampir sama dengan amalan sebelum ini?. Bersambung............
(Petikan Kertas Kerja Satu Malaysia: Pendefinisian, Pemahaman dan Pelaksanaan, Dr Sivamurugan, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, USM)

Sunday, October 4, 2009

Satu Malaysia: Muqaddimah (1)

Muqaddimah

"Our future depends on how well many different kinds of people can live and work together"- Tunku Abdul Rahman dalam salah satu ucapannya pernah menyatakan kebimbangan ke atas masa depan negara ini ketika beliau mentadbir sebagai Perdana Menteri pertama Malaysia. Kesemua bekas Perdana Menteri turut sentiasa mempunyai keinginan yang sama untuk memperlihatkan satu kesinambungan warisan kepimpinan dengan penekanan berterusan ke atas isu masa depan negara berasaskan kepada keserasian dalam kalangan penduduk untuk mengenepikan perbezaan yang wujud dalam 'kemajmukan' masyarakatnya. Bermula zaman Tunku yang menampilkan 'politik gabungan' sebagai kekuatan kepada elemen politik negara, Tun Abdul Razak memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru dan Rukun Negara untuk penstrukturan semula masyarakat dan memulihkan semula integrasi dalam kalangan masyarakat. Tun Hussien Onn pula cuba memperkemaskan dan membina perpaduan yang lebih utuh yang turut dijadikan intipati dalam Wawasan 2020 Tun Dr Mahathir Mohamad.
Wawasan 2020 dilihat sudah menjadi teras kepada apa yang perlu dicapai oleh negara dengan diberikan satu tempoh masa bersesuaian dengan proses modernisasi dan pembangunan yang dinikmati oleh Malaysia. Tun Abdullah Ahmad Badawi pula cuba membina nilai dalaman supaya elemen yang diketengahkan dalam Islam Hadhari dapat membina modal insan yang memiliki keperibadian mulia. Yang nyata, gagasan, konsep, slogan ataupun dasar Satu Malaysia perlu dilihat sebagai satu 'kesinambungan' dari apa yang pernah dikemukakan oleh kepimpinan lepas; dan jika itu keadaannya, mengapa ia dikatakan mengelirukan dan apakah keunikan dalam Satu Malaysia yang boleh dianggap sebagai 'perbezaan' yang ketara dari agenda sebelum ini?. Bersambung.........
(Kertas Taklimat Satu Malaysia: Pendefinisian, Pemahaman dan Pelaksanaan. Oleh Dr Sivamurugan Pandian, USM)

Bicara Ilmu (2)

2 Oktober 2009 : Bukit Kulim

Masyarakat harus kembali mempelajari ilmu agama walaupun dalam usia tua. Ilmu agama terutamanya pemahaman dalam ilmu Tauhid dan Fiqh harus diberi keutamaan selain daripada ilmu Tajwid dan pemahaman Al Quran. Kerana terdapat pelbagai contoh teladan dan pengajaran yang boleh diperolehi jika kita mempelajari kandungannya. Ini diantara intipati yang dinyatakan oleh Ustaz Khairul Amran bin Abdul Jalil, Pegawai Agama Islam Raub, Pahang selaku penceramah undangan di program Bicara Ilmu anjuran Ketengah dengan kerjasama Jabatan Penerangan Negeri Terengganu.
Program ini telah bermula sejak pagi melibatkan sesi gotong-royong bersama penduduk kampung membersihkan kawasan tanah perkuburan, masjid dan penyampaian sumbangan alatsiaraya kepada Masjid Bukit Kulim. Pengerusi Masjid Bukit Kulim Haji Zakaria Yaakub berharap program seumpama ini dapat diteruskan pada tahun hadapan dengan penglibatan agensi-agensi kerajaan seperti Ketengah, Jabatan Penerangan, dan Pejabat Agama. Majlis ini juga turut dihadiri oleh Cik Rohani binti Chik, Penolong Pengarah PKPM, Jabatan Penerangan Terengganu.

Friday, October 2, 2009

Bicara Ilmu (1)

Bergotong Royong di Tanah Perkuburan Kg Bukit Kulim, Pengkalan Berangan







Gotong Royong menyediakan persiapan masakan untuk Program Bicara Ilmu

2 Oktober 2009-Marang

Pagi tadi telah berlangsung majlis gotong royong yang melibatkan 50 orang penduduk Kampung Bukit Kulim, Pengkalan Berangan. Ia bersempena dengan Program Bicara Ilmu anjuran KETENGAH dengan kerjasama Jabatan Penerangan Negeri Terengganu jam 6.30 petang ini yang berjudul 'Mencari Jalan Menuju Redha Allah' oleh penceramah undangan Ustaz Khairul Amran Abd Jalil dari Pejabat Agama Islam Raub, Pahang.

Program ini adalah kesinambungan daripada Kempen Mari Belajar (2 jam 3 jam) yang telah dilancarkan oleh YAB Datok Seri Mohd Najib Tun Razak, Timbalan Perdana Menteri ketika itu pada 27 Mei 2006. Tahun ini KETENGAH telah memperluaskan program ini dengan mengadakan 1 aktiviti Forum Perdana dan 17 aktiviti Bicara Ilmu. Antara pengisian program ialah melengkapkan alatsiaraya baru kepada masjid serta majlis gotong royong membersihkan kubur dan masjid.