Sunday, August 30, 2009

Pelekat Kereta (Satu Malaysia)


Sempena Sambutan Bulan Merdeka ke 52, Pejabat Penerangan Daerah Marang sedang mengedarkan pelekat kereta berukuran 12cm X 14 cm mulai hari ini (30 Ogos 2009). Orang ramai dijemput beramai-ramai ke pejabat ini untuk mendapatkannya.

Thursday, August 20, 2009

Agro Terminal Terengganu di Marang

18 Ogos 2009-Bukit Sawa

Marang akan menjadi pusat utama kepada rangkaian pemasaran sayur-sayuran dan keluaran hasil ladang negeri ini apabila Agro Terminal Terengganu mula dibina tahun hadapan di Marang. Ketika ini kerja-kerja pembinaan tapak sedang giat dilaksanakan di persimpangan Undang-Bukit Payong. Pembinaan projek tersebut yang bernilai RM50 juta telah diumumkan oleh YB Yahya Khatib Mohamad, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam Negeri ketika berucap di Majlis Pelancaran Projek Bumi Hijau Peringkat Parlimen Marang di PAKR Bukit Sawa.
YB Yahya Khatib Mohammad menyampaikan Kit Bumi Hijau kepada Wakil DUN, Tuan Haji Ismail Zainal, Penghulu Alor Limbat

Beliau juga turut mengumumkan bahawa Lebuhraya Pantai Timur (LPT) akan mula dibuka mulai Mei 2011, awal setahun daripada jadual yang ditetapkan. Faktur ini dijangka mampu melonjakkan proses pembangunan Parlimen Marang dibidang dan sektor pertanian. Disamping meningkatkan prasarana pertanian, aliran pemasaran juga turut diberi keutamaan. Sehubungan itu kerajaan negeri juga sedang meneliti laluan kemudahan perkhidmatan bas awam di jalan-jalan dalam daerah ini bagi menghubungkan antara kampung-kampung dengan pekan-pekan kecil yang berhampiran. Perkhidmatan ini akan memudahkan penduduk kampung mengunjungi pasar-pasar yang menjual hasil pertanian seperti Pasar Bengkalan Berangan, Pasar Marang, Pasar Bukit Payong dan Pasar Kedai Buluh. Jalan-jalan yang dicadangkan ialah antara Wakaf Tapai-Pengkalan Berangan-Marang. Marang-Bukit Khor-Bukit Payong, Kospint-Pengadang Baru dan dari Serada ke Alor Limbat. Kajian ini juga termasuk untuk membina sebuah stesyen bas di Bandar Marang.

Pegawai Daerah Marang Tuan Haji A.Rahman Che Ali menyampaikan 'hamper' kepada Puan Aini binti Jusoh, Pemenang Pertama Pertandingan Bumi Hijau (Individu)

Pada masa yang sama Pelancaran Projek Bumi Hijau adalah usaha Jabatan Pertanian secara berterusan menggalakkan penduduk di Taman Perumahan menanam sayur, ulam, herba serta kegiatan penternakkan ikan dan ayam bagi keperluan keluarga sendiri dan menjualnya jika berlebihan. Ia bukan sahaja mampu mengurangkan kos perbelanjaan harian tetapi juga mewujudkan persekitaran rumah yang menarik dengan tanaman ’edible lanscape’.

Bagi menjayakan projek ini Jabatan Pertanian, Jabatan Perikanan dan Jabatan Perkhidmatan Haiwan secara bersepadu akan terus memberi khidmat nasihat kepada orang awam yang berminat untuk melakukan aktiviti bertanam secara individu atau pun secara komuniti di kawasan rumah sendiri atau kawasan perumahan, masjid, sekolah atau kawasan pejabat. Keperluan biji benih dan bahan tanaman, anak ikan dan anak ayam juga disediakan dengan harga yang berpatutan.

Bagi keterangan lanjut boleh menghubungi Pejabat Pertanian Daerah Marang di talian : 09 618 2311.

Wednesday, August 12, 2009

Terengganu Anjung Ilmu


YAB Datuk Ahmad Said Menteri Besar Terengganu ketika melawat Bengkel Latihan Automatif di Kolej Tesdec, Bukit Khor, Marang.


Kompleks AlFarabi, Kolej Tesdec yang menawarkan Diploma in Engineering Technology (Automative Maintenance) yang dirasmikan oleh YAB Dato Ahmad Said, Menteri Besar Terengganu

Terengganu beriltizam untuk menobatkan negeri ini sebagai negeri Anjung Ilmu. Hasrat ini dilontarkan oleh YAB Datuk Ahmad Said, Menteri Besar Terengganu ketika merasmikan Kompleks Al Farabi yang menawarkan pengajian Automobil pada peringkat Diploma di Kolej Tesdec, Bukit Khor semalam.


Usaha untuk merealisasikan impian tersebut di buktikan dengan kejayaan Terengganu muncul tempat pertama bagi keputusan terbaik UPSR selama lapan tahun berturut-turut. Beliau berkata bahawa kejayaan tersebut dicapai melalui perancangan dan pelan strategik kerajaan negeri melabur dibidang pelajaran. Insentif berbentuk wang sejumlah RM 1,000 setiap orang kepada 2,000 pelajar yang menduduki peperiksaan STPM pada tahun lepas telah membuahkan hasil apabila Terengganu berjaya menduduki tempat pertama keputusan terbaik STPM 2008. Beliau yakin dengan pemberian insentif yang sama tahun ini keputusan yang dicapai pada tahun lepas dapat dikekalkan.

Kerajaan negeri juga mulai 2007 telah menawarkan kepada pemegang Ijazah Kelas Pertama, status pinjaman ditukar kepada pemberian biasiswa. Tawaran ini telah berjaya melonjakkan prestasi pelajar Terengganu daripada 22 orang pada tahun 2007 yang mendapat Ijazah Kelas Pertama kepada 66 bagi tahun 2008.

Mulai tahun ini kerajaan Negeri Terengganu telah pun menghantar 150 orang pelajar cemerlang lepasan SPM ke Indonesia dan juga ke Universiti Mansurah di Mesir dalam bidang perubatan. Di Universiti Mansurah, kerajaan negeri juga turut membuat pelaburan dengan membeli bangunan asrama pelajar bernilai RM15 juta. Pada masa yang sama kerajaan negeri akan terus meninjau peluang pembelajaran diluar negara termasuk mengadakan rundingan dengan Universiti Volvo International Graduate dan Moscow Medical Academy di Russia.

Bagi meneroka peluang baru dibidang aeronatic, kerajaan negeri juga telah mengadakan penjanjian kerjasama dengan syarikat MAS untuk melatih 20 orang juru terbang, 20 juruteknik dan 15 jurutera dikalangan anak-anak negeri Terengganu. Usaha ini akan diteruskan dengan melebarkan kerjasama seumpama ini dengan syarikat penerbangan Air Asia dan Firefly dengan segala kos latihan dan pembelajaran ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan negeri.

Manakala di peringkat sekolah rendah, sejumlah 12,000 pelajar-pelajar tahun lima telah dibekalkan dengan e-book dengan peruntukkan sejumlah RM30 juta. YAB Dato Ahmad Said juga berkata bahawa pada tahun hadapan kerajaan negeri turut mempertimbangkan untuk memperluaskan lagi pemberian e-book ini kepada pelajar-pelajar tahun empat dan tahun lima. Dijangka dalam tempoh lima tahun akan datang, e-book turut dibekalkan kepada pelajar-pelajar Tingkatan 1, 2 dan 3. Bagi kemudahan jangka panjang, kerajaan negeri telah membuat perjanjian kerjasama dengan syarikat Intel untuk melabur sejumlah RM 8.5 juta bagi pembinaan kilang e-book di Terengganu. E-book ini dilengkapi dengan pelbagai perisian termasuk 30 juz Al-Quran, panduan solat, pengurusan jenazah selain daripada kurikulum sekolah.

Dalam tempoh lima atau enam tahun lagi Terengganu bukan sahaja mampu merealisasikan hasratnya sebagai 'Negeri Anjung Ilmu' yang melahirkan rakyat mahir IT tetapi juga pencipta teknologi.