Tuesday, March 31, 2009

Program Amal Kebajikan Rakan Muda

Encik Zaidi Muda, Penyelaras DUN Bukit Payong (empat dari kanan)

Rombongan yang terdiri daripada 33 orang peserta Rakan Muda dari Parlimen Hulu Terengganu telah mengadakan lawatan dan kerja amal di Rumah Sejahtera Taman Bahagia Bukit Payong (RSTB) semalam. Program ini bertujuan untuk mengembeling tenaga dikalangan belia kepada aktiviti-aktiviti berpersatuan yang berfaedah. Program ini yang dianjurkan oleh Pejabat Belia dan Sukan Hulu Terengganu telah mendapat kerjasama sepenuhnya daripada Jabatan Kebajikan Negeri Terengganu. Pegawai Belia Daerah Hulu Terengganu Encik Nor Hisham bin Mohammad berkata, program ini adalah sebahagian daripada usaha untuk memasyarakatkan golongan belia kepada kumpulan sasar yang ditentukan dengan melaksanakan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan secara langsung. Umpamanya seperti program ini yang mengadakan lawatan ke Rumah Orang Tua RSTB, membersihkan kawasan, mengecat bangunan, beramah mesra bersama penghuni-penghuni dan juga mengadakan lawatan ke wad kanak-kanak di Hospital Nur Zahirah, Kuala Terengganu.
Peserta Rakan Muda Parlimen Hulu Terengganu

Program ini telah dirasmikan oleh Encik Zaidi Muda, Penyelaras Pembangunan DUN Bukit Payong, yang menyokong penuh usaha Pejabat Belia Hulu Terengganu yang proaktif untuk mendekatkan golongan belia kepada kerja-kerja amal. Beliau juga menyeru supaya golongan belia terus prihatin kepada nasib golongan tua dan berharap program ini sebagai perintis kepada mereka untuk terus berbakti kepada masyarakat. Turut hadir di program tersebut ialah Dato'Haji Mansur bin Mohd, Pengerusi Lembaga Pengerusi Tadbir Rumah Sejahtera, Taman Bahagia Bukit Payong.
Bermesra dengan penghuni RSTB
Kerja -kerja mengecat bangunan
Nor Hidayah Mohd Sufi dari JKM Hulu Terengganu turut sama dalam Program Amal
Penyampaian Cenderamata kepada Dato Haji Mansur Mohd, Pengerusi Tadbir RSTB, Bukit Payong

Sunday, March 29, 2009

Nelayan Perlu Bijak Guna Peluang


Tuan Haji Sa'dom berucap dimajlis tersebut

"Kini nelayan menjadi kelompok yang dicemburui oleh golongan petani dan juga sektor lain kerana pelbagai kemudahan yang diberikan oleh kerajaan untuk meningkatkan taraf hidup nelayan". Kenyataan ini diucapkan oleh Tuan Haji Saadon bin Abd Wahab, Pengarah Bahagian Pembangunan Masyarakat dan Instiutusi Nelayan LKIM ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kali 30 Persatuan Nelayan Kawasan Marang Khamis lalu.
Beliau turut menyeru agar nelayan mendaftar sebagai ahli Persatuan Nelayan Kawasan supaya segala kemudahan dan juga kebajikan yang diberikan melalui persatuan ini dapat dinikmati oleh mereka. Terutama kemudahan bantuan bencana yang diumumkan oleh YAB Dato Seri Mohd Najib baru-baru ini yang meliputi bayaran RM4,000 ringgit untuk kematian di laut, RM10,000 hilang upaya kekal, bayaran hospital RM1,000 untuk kemasukan melebihi tiga hari, bot tenggelam bayaran maksimum sehingga RM12,000, kerosakan enjin akibat bencana bayaran maksimum sehingga RM 5,000 dan RM 3,000 untuk kerosakan kelengkapan menangkap ikan akibat bencana.


Ahli-ahli persatuan yang hadir

Beliau juga turut menegur sikap segelintir nelayan yang memperolehi insentif sara hidup bulanan sejumlah RM 200 yang jarang turun ke laut. Jika sikap ini berterusan kemungkinan kerajaan terpaksa mengkaji semula pemberian insentif ini. Setakat ini sejumlah 638 nelayan di Marang telah mendapat faedah daripada skim bantuan ini.


Penyampaian saguhati anak-anak nelayan cemerlang peperiksaan UPSR, PMR dan SPM 2008

Di majlis yang sama beliau juga menekankan peri pentingnya nelayan-nelayan bangsa Melayu khususnya untuk mencontohi nelayan-nelayan dari kaum Cina yang sentiasa menambah pelaburan saham dalam persatuan. Dividen yang tinggi sehingga 20 peratus setahun seharusnya menjadi galakan kepada nelayan-nelayan untuk membuat pelaburan dan keuntungan masa hadapan.

Thursday, March 26, 2009

Kuiz Asean 2009



Seramai 10 orang pelajar telah mengikuti pertandingan Kuiz Asean 2009 di SMK Tun Telanai mulai jam 9.00 pagi semalam. Dari 10 penyertaan hanya tiga sahaja yang telah dapat menghantar jawapan ke peringkat pusat manakala tujuh lagi gagal mengakses sistem. Sehubungan dengan kejadian tersebut waktu pertandingan ditetapkan semula pada hari Ahad ini 29 Mac 2009 mulai jam 9.00 pagi hingga 12.tengahari petang khusus bagi negeri Terengganu, Kelantan dan Kedah. Peserta-peserta Pertandingan Kuiz ASEAN 2009 yang terbabit dan tidak boleh mengakses sistem pada hari berkenaan berpeluang untuk menjawab soalan kuiz tersebut pada hari Ahad ini.

Pertukaran tarikh dan waktu pertandingan ini adalah kerana sistem tidak mampu diakses serentak dari seluruh negara. Peserta telah berjaya mengakses sistem dan menjawab soalan kuiz pada hari berkenaan diucapkan selamat berjaya.

Info daripada Urus Setia Pertandingan Kuiz ASEAN 2009 Negeri Terengganu.

Wednesday, March 25, 2009

Berani Berubah


Berani Berubah. Itulah intipati ucapan YAB Dato Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak Timbalan Presiden UMNO ketika merasmikan persidangan serentak perwakilan wanita, pemuda dan puteri UMNO.

Perkataan keramat ini telah mendapat sambutan daripada perwakilan yang menggariskan beberapa teras penting, menghapuskan politik wang, penghapusan kuota dalam pemilihan calon bertanding, perluasan pemilihan dikalangan ahli kepada pemimpin parti, cadangan pindaan perlembagaan UMNO sebagai usaha berani dalam membaiki kemelut UMNO untuk mendapatkan semula keyakinan semula orang Melayu dan rakyat Malaysia..

Kesungguhan Najib untuk membunuh dua penyakit utama Umno yang sudah berleluasa ini perlu digembling dengan berungguh-sungguh untuk tempoh enam bulan ini. Ia hanya dapat dilakukan dengan sokongan serta kesungguhan barisan kepimpinan di Majlis Tertinggi, Wanita, Pemuda dan Puteri. Penyakit yang sudah membarah ini telah lama menjadi perhatian umum termasuk menyekat golongan yang cerdik, ikhlas dan berwawasan dalam UMNO untuk naik ke peringkat lebih tinggi kerana gejala politik wang bermula di peringkat cawangan hinggalah ke peringkat Bahagian dan Pusat.

Berani berubah bukanlah slogan tulin yang ingin dibawakan oleh Najib. Slogan ini juga pernah digunakan oleh sebuah parti politik ketika menghadapi pilihanraya pada tahun 2004. Itu bukanlah persoalan utamanya. Cuma apakah hasrat tersebut akan dilaksanakan secara bersungguh selepas Perhimpunan Agong UMNO selesai selepas 28 hb ini. Fokus utama ialah untuk 'memperkasakan' UMNO dang ‘mengangkasakan' orang Melayu sebagai agenda Najib. Keseriusan Najib merestui dan mempertahankan tindakan Jawatankuasa Displin UMNO adalah jelas. Hukuman telah dikenakan kepada semua yang terlibat, bukan sahaja menyingkir juak-juaknya tetapi turut kepada pemimpin-pemimpin utama parti. Keberanian Najib adalah titik tolak kepada kebangkitan semula UMNO. Jika imej UMNO dapat dipulihkan dalam tempoh tiga tahun dari sekarang. Orang Melayu akan melihat semula UMNO sebagai parti yang membela nasib dan hak orang Melayu.

Kita tidak mampu lagi melihat bahawa apa yang 'dikata' tidak 'dikotakan'. Kita tidak mahu ucapan itu bagai kokok yang berdegar-degar tetapi tahi tersangkut di gelegar.. Majoriti orang Melayu adalah ‘penyokong senyap’ yang ingin melihat semula ‘angin perubahan’ dalam UMNO. Melatih dan mewujudkan silibus perkaderan ahli UMNO secara tersusun di seluruh negara harus dijangka memberi impak besar kepada hala tuju UMNO selepas ini. Ahli UMNO harus difahamkan tentang budaya, matlamat, perjuangan dan tradisi UMNO. Budaya cantas mencantas, memintas ahli-ahli cerdik dan ikhlas, politik wang, kroni, berpuak-puak wajar terus dihapuskan untuk menjernih UMNO sebagai parti perjuangan yang tulin. Pemimpinnya perlu merendah diri, bukan untuk dipijak tetapi untuk sama menyelami kehendak dan berkhidmat untuk rakyat. Membuang sifat elitis, dan parti UMNO dipunyai oleh rakyat. Inilah janji-janji sarat yang perlu ditunaikan oleh Najib sebagai Presiden UMNO. Tanggungjawab besar akan tergalas di bahu beliau, tanggungjawab sebagai khalifah parti UMNO dan juga pemacu utama Negara sebagai Perdana Menteri.

Ahli-ahli Umno harus bersama-sama menyokong perjuangan Najib jika hendak melihat Umno terus relevan. Budaya SI (salam isi) hendaklah dihapuskan daripada menjadi amalan budaya UMNO. UMNO adalah parti perjuangan. Parti yang berjuang untuk memerdekakan negara. Inilah sejarah UMNO sebenarnya. Bukan parti yang mengejar projek, jawatan dan harta benda, Umno adalah parti berjiwa rakyat bukannya parti golongan elit.

Tuesday, March 24, 2009

Ceramah Rukun Negara




Sempena dengan kempen Malaysia Perkasa satu ceramah Rukun Negara telah diadakan di SMK Merchang. Ceramah tersebut telah disampaikan oleh Encik Shabli bin Arshad Pegawai Penerangan Daerah Marang kepada 700 orang pelajar-pelajar termasuk guru-guru sekolah tersebut. Turut bersama di majlis tersebut ialah Puan Rohaya Ishak, Penolong Kanan Pentadbiran SMK Merchang.


Pelajar-pelajar SMK Merchang yang mengikuti ceramah Rukun Negara

Sunday, March 22, 2009

Pejabat Pelajaran Juara Keseluruhan - MAKSAK

Piala Pusingan Pegawai Daerah kepada Johan Keseluruhan MAKSAK 2009

Pejabat Pelajaran Daerah Marang telah muncul sebagai juara keseluruhan Kejohanan Sukan Majlis Kebajikan Dan Sukan Anggota Kerajaan (MAKSAK) Daerah Marang 2009. Kejohanan yang bermula dari 20 - 21 Mac 2009 tersebut melibatkan Jabatan Kesihatan Marang, Majlis Daerah Marang, Jabatan Penjara Terbuka Marang, Pejabat Pelajaran Marang, PDRM dan Pejabat Daerah dan Tanah Marang. Acara yang dipertandingkan ialah Futsal, Badminton dan Bola Jaring. Hadiah-hadiah kemenangan telah disampaikan oleh Tuan Haji A.Rahman bin Che Ali, Pegawai Daerah Marang, merangkap Pengerusi MAKSAK Daerah Marang. Keputusan penuh seperti berikut:-
Acara Futsal : Johan - Pejabat Kesihatan Marang
Acara Badminton : Johan - Pejabat Pelajaran Marang
Acara Bola Jaring :Johan - Jabatan Pelajaran Marang




Johan Acara Badminton MAKSAK Marang 2009 - Jabatan Pelajaran Daerah

Bekas Tentera Dapat Tanah Kurnia

Seramai 68 orang bekas tentera di Daerah Marang telah menerima Tanah Kurnia daripada kerajaan Negeri Terengganu seluas antara satu hingga 1.5 ekar di kawasan berhampiran Kg Tertak Batu, Mukim Rusila. Kassim Muda, Ketua Cawangan Bekas-Bekas Tentera Daerah Marang merakamkan ucapan terima kasih kepada kerajaan negeri yang sentiasa 'cakna' kepada bekas-bekas tentera dan keluarga mereka. Harapan beliau pemberian tanah ini akan memberi faedah kepada ahli-ahli untuk mengusahakannya sebagai tanah dusun atau lain-lain cabang sektor pertanian. Beliau berkata demikian ketika ditemui bersama ahli-ahli persatuan tersebut untuk meninjau lot-lot tanah yang mereka perolehi.


Berkumpul sebelum meninjau kawasan tanah yang mereka perolehi di Kg Tertak Batu

Forum Perdana Ehwal Islam



Majlis Forum Perdana Ehwal Islam telah pun diadakan bersempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Daerah bagi tahun 1430 Hijrah di Dataran Alor Limbat. Program yang bermula selepas solat Isyak ini dimulakan dengan bacaan salawat oleh kumpulan Nasyid Instiutut Al-Quran Negeri Terengganu. Panel Forum terdiri daripada Ustaz Abd Halim bin Awang, Timbalan Mufti Negeri Terengganu, Ustaz Badlishah bin Alaudin, Jabatan Agama Islam Pahang dan Pengerusi Forumnya ialah Ustaz Kamalrudin bin Omar, dari Pejabat Menteri Besar Terengganu.



Kumpulan Nasyid dari Instiutut Al-Quran Terengganu


Sebahagian daripada jemputan yang hadir di Forum tersebut

Friday, March 20, 2009

Maulidur Rasul Dan Bulan Dakwah



Bersama-bersama berselawat, Hj A.Rahman Che Ali (dua dari kanan)

Majlis Sambutan Maulidur Rasul dan Bulan Dakwah Peringkat Daerah Marang telah diadakan di Masjid Temiang dalam Mukim Wakaf Tapai malam tadi. Program yang bermula dengan solat maghrib, berselawat beramai-ramai turut mengundang Ustaz Fadli Yusof dari Pejabat Mufti Negeri Terengganu. Program tersebut turut dihadiri oleh Haji A.Rahman bin Che Ali Pegawai Daerah Marang, ketua-ketua jabatan serta ahli kariah yang dianggarkan melebihi 500 orang. Program ini diadakan bersempena dengan Bulan Dakwah yang akan berakhir pada 31 Mac ini.




Ustaz Fadzli bin Yusof penceramah undangan

Sebahagian dari jemputan yang sedang mendengar ceramah

Ceramah yang diadakan dalam ruang Masjid Kg Temiang

Thursday, March 19, 2009

Hari Ceria


Istilah Hari Ceria telah digunakan untuk menggantikan nama aktiviti bergotong royong. Hari Ceria diadakan sekurang-kurangnya sekali setiap bulan pada setiap hari Khamis di Pejabat Penerangan Daerah Marang. Aktiviti ini bertujuan untuk mengakrabkan hubungan kakitangan disamping meningkatkan kebersihan kawasan pejabat dan juga imej jabatan.





Rosman (sektor hiasan/lanskap) sedang memesin rumput pejabat




Berat Sama Dipikul, Berat Sama Dijinjing



Pegawai Penerangan Daerah turut turun padang bersama anak buah



Pok Tapa, 'pengunjung' Pejabat Penerangan Marang juga turut 'ringan tulang' membantu



Lihatlah betapa bersihnya

Wednesday, March 18, 2009

Pekan Budaya Marang dan Swimathon 2009


Pekan Budaya Marang akan berlangsung pada 8 hingga 14 April 2009 ini di Pantai Kelulut. Tarikh tersebut telah diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Induk Pekan Budaya Marang semalam yang dipengerusikan oleh Haji Abdul Rahman bin Che Ali Pegawai Daerah Marang. Selain daripada itu Kapas -Marang International Swimathon 2009 yang melibatkan peserta-peserta dari dalam dan luar negeri juga akan berlangsung mulai 10 hingga 12 April 2009.

Monday, March 16, 2009

Menantu Baru

Semalam Bendahari Komuniti Bestari Mukim Jerong Haji Zakari bin Musa telah pun melangsungkan perkahwinan anak perempuan sulong beliau di terataknya di Kg Bukit Baru, Marang. Komuniti Bestari Daerah mengucapkan selamat menyambut menantu dan semoga ikatan perkahwinan tersebut kekal abadi sehingga ke anak cucu. Amin


Tetamu yang sedang menikmati hidangan dimajlis tersebut


Bersama dimajlis perkahwinan ini ialah Haji Mohamad Musa bekas Penolong Pengarah PKPM, Jabatan Penerangan Negeri Terengganu (berdiri di tengah) yang juga abang kepada tuan rumah

Friday, March 13, 2009

Lanskap di KB Alor Limbat


Jika anda datang ke Komuniti BESTARI Alor Limbat pasti anda akan disambut oleh binaan lanskap yang menarik. Ini sebahagian daripada mercu tanda yang dibina oleh penduduk kampung yang berpegang kepada falsafah 'Bersatu Untuk Maju'.
Kampung yang bukan sahaja pernah menggondol gelaran Anugerah K3P Kebangsaan 2003 tetapi pada tahun 2008 telah memenangi Juara Pertandingan Kebersihan dan Keindahan Negeri Terengganu.


Wednesday, March 11, 2009

Muqadimmah

Pelancaran blog ini sebagai wadah untuk mempromosi peristiwa dan kegiatan yang berlaku di Daerah Marang. Ia juga sebahagian daripada usaha Pejabat Penerangan Daerah Marang untuk menyelami nadi dan jiwa rakyat serta hasrat kerajaan Negeri Terengganu untuk 'Merakyatkan Pembangunan' melalui dunia maya.